Khidmat Malaysia; Menyelamat, Melegakan Dan Membaikpulih

 


Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN - Menyelamat, Melegakan dan Membaikpulih (3M) adalah hastag kepada badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Khidmat Malaysia bagi mengurus kecemasan dan bencana di Malaysia.

Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat mengucapkan terima kasih kepada  semua yang terlibat semasa banjir di Kemaman.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang pada tahun-tahun yang lalu ketika banjir melanda daerah Kemaman.

"Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman itu juga berpesan agar kerja-kerja bantuan ini perlu dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah.

"Walaupun sebahagian besar daripada anda tidak dibayar dengan wang ringgit, tetapi saya yakin dan percaya bahawa ganjaran tersebut bakal diterima diakhirat kelak," ujarnya semasa merasmikan  Pelancaran Khidmat Malaysia Parlimen Kemaman pada Isnin, 6 Disember. 


Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang juga sebagai Pegawai Daerah Kemaman turut berucap dimajlis tersebut mengharapkan kerjasama daripada semua NGO yang ada di Kemaman.

"Saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian idea daripada semua pihak dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Kemaman terutama ketika bencana banjir.

"Kita perlu terus berubah bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan yang sedia ada terutama dari segi pembangunan sikap dan akhlak yang perlu diseiringkan dengan pembangunan fizikal dan proses kerja juga perlu lebih pantas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman Yang Berhormat Che Alias Hamid ketika berucap mengharapkan agar majlis ini dapat menyuntik semangat para sukarelawan Khidmat Malaysia agar terus meningkatkan usaha dan terus istiqomah.

"Sokongan dan bantuan dari semua amat diperlukan bagi meringankan beban yang bakal dipikul oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada rakyat," ucapnya yang juga sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman.

Turut dipamerkan dimajlis tersebut adalah sebahagian daripada eset bagi kerja-kerja bantuan semasa dan selepas operasi banjir termasuk peralatan komunikasi.

Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Parlimen Kemaman 2021 diadakan di Dewan Seri Amar, Cukai, Kemaman semalam yang dihadiri oleh seramai 200 orang petugas sukarelawan.

Ulasan