Majlis Syura Ulama Tegaskan Kepentingan Penyatuan Politik Umat Islam


Muzakarah Majlis Syura 'Ulama yang bersidang pada Rabu 29 Disember 2021 bertajuk “Hala Tuju Ta'awun Siyaasi dan Misi Pilihanraya PAS PRU ke 15” bersetuju untuk menegaskan kepentingan "*Memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional*" dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU ke 15 dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar. 

Ini selaras dengan panduan Allah menerusi firman-Nya dalam Surah al-Anfal Ayat 46:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ 46

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan BERSABARLAH kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"

Semangat Ta'awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan. Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian. Ia sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

"Maka dengan rahmat daripada Allah kamu bersikap lunak terhadap mereka. Dan jika kamu bersikap kasar, keras hati pasti mereka bertempiaran lari dari keliling kamu maka maafkanlah mereka, mohonlah keampunan Allah buat mereka dan berunding serta bermusyawarah dengan mereka dalam urusan tersebut. Seterusnya apabila kamu telah bertekad maka bertawakkal berserah dirilah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah suka orang-orang yang sentiasa bertawakkal menyerah diri (kepada Allah)”

Majlis Syura 'Ulamak juga mengucapkan takziah kepada mangsa banjir dan terima kasih tidak terhingga kepada misi-misi bantuan yang sedang berjalan. Dalam masa yang sama, Majlis Syura' Ulamak menyeru semua lapisan masyarakat melipat-gandakan lagi usaha-usaha membantu mangsa banjir yang terjejas teruk dari sudut material.


*Tuan Guru Dato' Hj Hashim Jasin*

Mursyidul Aam

Parti Islam Semalaysia (PAS)

30 Disember 2021 | 26 Jamadilawal 1443H

Ulasan