'Muafakat Nasional Tidak Terkubur'


KUALA NERUS - PAS menegaskan bahawa gagasan Muafakat Nasional (MN) yang terbina pada September 2019 tidak pernah terkubur sebaliknya masih lagi hidup.

Presidennya, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, secara umumnya hubungan parti itu dengan UMNO dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah masih baik, kita bekerjasama dengan UMNO secara parti dan keseluruhan, bukan dengan individu-individu tertentu.

"Sebagai contoh kita masih kekal berkerjasama dalam mempertahankan kerajaan yang ada hari ini, UMNO masih tak tarik diri daripada kabinet Bersatu dan PAS," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pas Ke-70 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.


Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, pihak yang melanggar piagam MN tidak mewakili UMNO secara kolektif.

"Saya tak kata UMNO, saya kata ada orang-orang yang langgar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO ramai, bukan seorang, mereka bergerak secara bersama bukan mengikut individu.

"Saya tak tuju kepada sesiapa, saya 'tembak dalam gelap', terpulang kepada sesiapa kena atau tidak 'tembakan' itu," katanya.

Abdul Hadi turut mengatakan pihaknya kekal dengan agenda perpaduan ummah yang tidak terhad kepada UMNO dan PAS sahaja sebagaimana termaktub dalam piagam MN.

"Penyatuan ini melibatkan parti melayu dan bukan melayu yang tidak ekstrem termasuk badan bukan kerajaan.

"DAP ekstrem, Parti Amanah Negara (Amanah) masih bersama DAP, kita tak terima mereka kerana masih bersama DAP," ujarnya ketika ditanya mengenai jemputan kepada Amanah untuk menyertai MN.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah memaklumkan PAS bersedia menerima Amanah menyertai MN jika parti itu tidak bersama DAP.

Ulasan