Muslimat Tingkat Ilmu Dan Kemahiran Petugas Kebajikan


KUALA TERENGGANU - Muslimat PAS akan meningkatkan ilmu dan kemahiran kepada  para petugas kebajikan supaya dapat berkhidmat secara lebih baik. 

Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Terengganu, Hajah Khairiah Mokti berkata, ia sangat perlu kerana tugasan sektor rakyat itu berhadapan cabaran yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

"Matlamat kita supaya muslimat dapat memberi khidmat kepada masyarakat dengan lebih yakin, 

"dan mengelakkan masyarakat terpedaya dengan dukun dan bomoh-bomoh palsu dan yang beramal dengan cara syirik dan bercanggah dengan aqidah," tegasnya. 

Beliau menjelaskan demikian ketika dihubungi semalam, mengulas Program Terapi Mandiri Semarak Nurani yang telah diadakan pada Selasa 14 Disember. 

Menurut Khairiah, Program tersebut melibatkan semua Ahli Jawatankuasa Lajnah berkenaan dan  sebahagian ahli Wanita Anti-Jenayah dikenali sebagai Skuad Waja.

Mengulas lanjut, katanya Terapi Mandiri ini lebih kepada mempelajari dan memahami kaedah perawatan alternatif menggunakan cara yang dibenarkan dalam Islam  yang dibimbing oleh Timbalan Ketua Ulama PAS Terengganu. 

"Realiti sekarang masyarakat kita seolah – oleh sudah kembali percaya kepada benda – benda kurafat dan tahyul, jadi sekurang – kurangnya kita sendiri tidak lagi mencari penawar dari orang- orang yang tidak kita kenali dan ketahui apa cara yang mereka gunakan, " katanya lagi. 

Ulasan