PAS Terbukti Berintegriti, Tidak Rasuah

 


KUALA NERUS - PAS membuktikan parti itu paling berintegriti apabila tidak pernah terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa sepanjang mentadbir kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin menegaskan, rekod menunjukkan betapa PAS sememangnya menjadikan integriti sebagai amalan. 

“Terengganu di bawah pemerintahan PAS sekarang yang diterajui Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sememangnya mempraktikkan amalan serta dasar tadbir urus yang baik.

“Amanah dalam menguruskan dana yang bernilai bilion ringgit memastikan PAS tidak pernah didakwa dengan kes rasuah atau salah laku, ini menghasilkan natijah yang sama seperti kerajaan Kelantan,” katanya ketika berucap dalam Pentas Anak Muda sempena sambutan Ulang Tahun 70 Tahun PAS di perkarangan Stadium Sultan Mizan, Gong Badak semalam.


Menurut Khairil Nizam, perkembangan itu adalah disebabkan PAS menjadikan Islam sebagai dasar serta tonggak pemerintahan.

Katanya, parti Islam itu tidak hanya berteori melaungkan slogan integriti sebaliknya membuktikan secara praktikal dalam pemerintahan.

“PAS memahami bahawa dalam setiap urusan adanya pengiraan dosa dan pahala, pemimpin-pemimpin kompeten dan amanah, ini kepimpinan yang lahir daripada PAS,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mahu setiap anak muda mempunyai pemikiran seperti itu agar PAS terus kekal relevan dalam memperjuangkan negara yang bersih daripada sebarang budaya salah guna kuasa.

“Berdasarkan rekod, hanya kita yang layak bercakap tentang integriti dan itulah juga tawaran yang kita berikan kepada rakyat untuk mentadbir negari atau negara,” tambah beliau.

Ulasan