Pendekatan Ta'awun Siyasi


Majlis Syura Ulama’ telah membuat cadangan pendekatan politik melalui konsep Ta‘awun Siyasi atau konsep tolong-menolong (cooperation), setelah beberapa kali melakukan Tahaluf Siyasi. Tahaluf Siyasi ialah kerjasama melalui gabungan dalam politik (coalition) dengan membentuk kerajaan campuran, sehingga bergabung dalam satu ikatan wajib bersama (alliance) dan bersama menubuhkan Barisan Nasional (BN). 

PAS juga pernah bersendirian secara solo menjadi pembangkang berada di luar kerajaan dan mentadbir kerajaan negeri sahaja, malah pernah berada dalam kerajaan campuran di peringkat negeri dan pusat. Bahkan, PAS juga pernah menghadapi situasi apabila hanya tinggal satu kerusi sahaja di Parlimen dan gagal memenangi sebarang kerusi di negeri yang pernah dimenangi sebelumnya.  

Perbincangan mengenai tajuk ta‘awun berlaku pada akhir hayat Mursyidul ‘Am PAS, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ketika era Mursyidul ‘Am, Almarhum Dr. Haron Din. 

Pendekatan Ta‘awun Siyasi adalah berpandukan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢ 

“Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kalian bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Ta‘awun Siyasi ialah kerjasama yang longgar tanpa ikatan perjanjian yang kukuh sepertimana Tahaluf Siyasi, tetapi prinsipnya sangat kukuh dan tegas. Ta‘awun ialah bertolong-tolongan dan bersama dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan sahaja, serta tidak boleh bersama tanpa kedua-dua asas tersebut. 

Secara tegasnya, konsep ta‘awun ialah bersama dalam perkara yang positif dan tidak bersama dalam perkara yang negatif.

Ada kalangan para ulama’ tafsir yang menyamakan pengertian antara dua perkataan tersebut iaitu kebajikan dan taqwa. Imam al-Mawardi RH menegaskan pendapatnya sebagaimana berikut: 

“Allah menggabungkan perkataan taqwa dan kebajikan. Perkataan taqwa hanya ada kaitan dengan konsep berbakti kepada Allah SWT dan kerana-Nya, adapun kebajikan pula mempunyai kaitan dengan mendapat keredaan manusia. Maka, mengumpulkan kedua-duanya akan mendapat kebahagiaan yang sempurna dan ni‘mat yang umum luasnya.”

Perpaduan umat ialah asas kebajikan dan taqwa yang sangat besar kelebihannya. Namun, PAS wajib menghayati konsep perpaduan umat berpandukan al-Quran dan Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam undang-undang tubuhnya. Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan PAS itu menjadi panduan kepada seluruh ahli PAS dan juga para pemimpinnya, mereka tidak boleh terpesong sekali-kali dan tidak boleh dipesongkan oleh mana-mana pihak yang lain. 

Konsep perpaduan umat adalah melibatkan umat ijabah (umat yang telah bersama Islam) dan umat dakwah (umat yang bukan Islam) yang merupakan mesej Islam yang sempurna. Suatu pendekatan yang mengembalikan semula umat Islam yang berpecah belah, bahkan ada yang berjauhan daripada ajaran Islam. J

Selain itu, perpaduan umat ialah suatu pendekatan bagi memperkenalkan penyelesaian Islam kepada golongan bukan Islam tanpa memaksa mereka menganut agama Islam dan memberikan hak beragama kepada mereka. Seterusnya, mengajak mereka untuk bernaung di bawah konsep adil kepada semua bersama kepimpinan Islam yang beriman dan budiman.  

PAS tetap teguh dengan pendirian dengan menubuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimulakan dengan konsep memilih Parti Melayu Islam dan bumiputera di Semenanjung. Kemudiannya diteruskan di Sabah (bersama Bersatu dan UMNO). 

Setelah itu, berkembar pula dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti bukan Islam, sehingga membolehkan penubuhan kerajaan pusat berkonsepkan kerajaan campuran PN bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berada dalam situasi dan realitinya yang tersendiri. Keadaan hari ini menunjukkan bahawa semua parti tidak bersendirian, malah gabungan PN ialah gabungan yang paling mesra. 

Demikian itu, disebabkan kedudukan PN yang menerima parti-parti yang tidak ekstrem dan juga parti yang masih berpegang dengan asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan PN dibina dengan jalinan perpaduan yang perlu dikukuhkan dan dilakukan penambahbaikan atas asas yang sama dengan pentafsiran yang merdeka daripada ikatan fahaman penjajah. Selain itu, tanpa bersama parti yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak mesra terhadap Islam ataupun hanya diperalatkan oleh mana-mana pihak.

PAS perlu berpegang teguh dengan konsep Ta‘awun Siyasi yang masih baharu diperkenalkan dan menolak apa sahaja pendekatan yang lain. Bahkan, jauh sekali daripada berundur kepada pendekatan yang hanya disertai oleh UMNO dan BN sahaja, sebagaimana yang pernah dilaksanakan dan sudah usang ketinggalan zaman serta bermasalah.j

PAS terus yakin dan percaya bahawa tidak pernah mengalami sebarang kerugian sepanjang perjalanan politiknya, walaupun pernah diperlakukan terhadapnya oleh pihak yang lain. Malah, ahli dan cawangannya juga tetap bertambah, walaupun dicantas ahli-ahlinya. Sehingga kerusi dan negeri yang pernah dimenanginya oleh pelbagai pihak yang tidak ikhlas pun dicantas. 

Semua perkara yang berlaku itu laksana pokok yang hidup subur sentiasa menambah dahan dan rantingnya, sekalipun ia dicantas dan dipotong. PAS merasai kebenaran daripada firman Allah SWT kepada perjuangan yang sentiasa beristiqamah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ٢٤ تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ٢٥ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ٢٦ يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ٢٧ in

“Tidakkah kamu memperhatikan (wahai Muhammad) bagaimana Allah telah membuat satu perumpamaan, iaitu kalimah yang baik laksana sebatang pohon yang baik, akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24); Pohon itu mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah memberikan perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia, supaya mereka sentiasa beringat-ingat (mendapat pelajaran). (25); Dan perumpamaan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna dan mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak dapat tetap (tegak) untuk hidup. (26); Allah meneguhkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang tetap teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim; dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (27)” (Surah Ibrahim: 24-27)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS


Bertarikh: 22 Jumadal Ula 1443 / 27 Disember 2021

Ulasan