PRN Sarawak Medan Ukur Gerak Kerja Jentera PAS


Keputusan PAS untuk bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12 adalah untuk mengukur persiapan jentera PAS menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bahkan kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ia bukanlah untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ukuran politik ialah pilihan raya. Jika tiada pilihan raya, bagaimana kita hendak mengukur kerja, penerimaan masyarakat dan kesediaan menghadapi norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laluan Sungai Langat di bawah projek Denai Sungai Negara semalam.

Menurutnya PAS tidak akan bertanding 11 kerusi seperti pada pilihan raya Sarawak sebelum ini.

"Jumlah kerusi masih dalam semakan tetapi ia tidak akan menjadi 11 kerusi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember, dan pengundian awal pada 14 Disember.

Bersatu dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya akan datang. - Bernama

Ulasan