Islam Terus Diganyang, Umatnya Dihimpit


Kelahiran Rasulullah SAW sebagai penutup para anbiya’ dan menjadi Rasul akhir zaman disebutkan dalam semua kitab agama Samawi mahupun kitab bukan agama Samawi. Apabila Baginda SAW dizahirkan, tiba-tiba hanya segelintir sahaja daripada mereka yang beriman, adapun sebahagian besar yang lain pula menentang.

Hal ini sehingga menyebabkan golongan yang menentang berperang dan bergabung dengan kalangan jahiliah Arab untuk membentuk bala tentera Ahzab (bersekutu) bagi menjatuhkan negara Islam dan memadamkan cahayanya. Namun, bala tentera Ahzab dimusnahkan hingga hancur berkecai dengan pertolongan Allah SWT dan keikhlasan generasi awal yang beristiqamah bersama Islam. 

Malah, usaha menekan Islam dan umatnya yang sangat zalim itu diteruskan hingga kini secara bertali arus, bahkan pernah berjaya menjatuhkan kerajaan Islam yang menjadi kuasa besar melindungi agama dan umatnya pada awal abad yang lalu. Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak mengizinkan cahaya Islam dipadamkan dengan janji-Nya yang wajib ditepati sebagaimana firman-Nya:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir membencinya. (8); Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama meskipun orang Musyrik membenci. (9)” (Surah al-Saff: 8-9)

Kewafatan Rasulullah SAW sekali-kali tidak mematikan risalah Islam kepada seluruh manusia, walaupun berlakunya peristiwa kemurtadan bangsa Arab dan kepungan oleh kuasa besar dunia pada zaman itu. Perjalanannya tetap diteruskan oleh kumpulan Islam mahupun jemaah atau parti yang menerusan perjuangan berlandaskan Islam. 

Dalam pada itu, musuh yang menentangnya juga tetap wujud bagi menggagalkan risalahnya, bahkan berusaha memadamkan cahayanya. Usaha musuh itu bukan sahaja dilakukan melalui operasi ketenteraan daripada luar, malah diusahakan juga menghancurkan umat daripada dalam. Akan tetapi, semuanya tetap gagal dan Allah SWT tetap menyelamatkan Islam dan umatnya.

Kelemahan yang dialami oleh umat Islam sendiri pada zaman mutakhir disebabkan oleh pegangan agamanya yang lemah dan kemunduran dari sudut ilmu keduniaan tanpa mengikut ajaran Islam yang telah berjaya mencipta ketamadunannya sendiri. Keadaan ini telah memberikan kesempatan agar umat Islam dikalahkan oleh musuhnya itu sehingga keseluruhan tanah air Islam dijajah, sedangkan umatnya pula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan mazhab.

Kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah yang bermula dengan berlakunya perpecahan, memberikan peluang kepada pihak musuh untuk memecahkan tanah air umat Islam. Agenda tersebut dilaksanakan mengikut sempadan geografi berdasarkan pecahan kebangsaan masing-masing atau mazhab yang berbeza. 

Sebenarnya pendekatan perpaduan umat telah pun dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW, sekalipun usaha untuk memecah-belahkan umat telah diusahakan oleh musuh sejak awal lagi. Akan tetapi, apabila wujud usaha memecah-belahkan umat antara Muhajirin dengan Ansar, ataupun antara Aus dengan Khazraj dalam kalangan Ansar, suasana itu berjaya dibendung dengan panduan wahyu dan sabda Rasulullah SAW. Allah SWT memberikan suatu peringatan melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ١٠٠ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kalian mentaati (mengikuti) sebahagian daripada golongan (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kalian menjadi orang kafir sesudah kalian beriman.” (Surah Ali ‘Imran: 100)

Firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ١٠٣ 

“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu padu dengan ni‘mat Islam), maka jadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian daripada neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Firman Allah SWT: 

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ١٠٥ 

“Dan janganlah kalian menyerupai orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian itu akan beroleh azab seksa yang berat.” (Surah Ali ‘Imran: 105)

Bahkan, Rasulullah SAW juga melaksanakan perpaduan kemanusiaan yang lebih besar dalam konteks masyarakat majmuk pelbagai agama dan kaum mengikut firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣ 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya  orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Firman Allah SWT:

عَسَى اللَّهُ أَنْ يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُمْ مِنْهُمْ مَوَدَّةً  وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ٧ لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ٩ 

“Mudah-mudahan Allah akan menimbulkan perasaan kasih sayang antara kalian dengan orang-orang yang kalian musuhi antara mereka (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kalian daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kalian kerana agama (kamu), dan mengusir kalian dari kampung halaman kalian, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kalian. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7-9)

Tujuannya ialah memperkenalkan konsep Islam yang adil kepada semua dalam segala aspek kehidupan manusia. Pada masa yang sama, turut menerima segala aspek yang baik daripada semua dan menolak apa jua bentuk kemungkaran walaupun ia berasal daripada bangsa Arab sendiri.

Islam sekali-kali gagal dihancurkan, dipadamkan cahayanya dan dihanyutkan ajarannya, kerana ia tetap dipelihara oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW telah meninggalkan pusaka asas yang kukuh bagi melaksanakan Islam yang sempurna dengan asas ajaran Islam yang sangat kukuh dan membina pendekatan perpaduan umat Islam bersama perpaduan umat manusia. Khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk berbagai-bagai kaum dan agama mengikut acuan Allah SWT yang disebutkan dalam ayat di atas. 

Sehinggakan, Baginda SAW berjaya mencipta Tamadun Islam yang mampu bertahan selama 13 abad lamanya. Malangnya, ia berakhir dengan kejatuhan kerajaan Islam akibat kelemahan pegangan agama umat Islam yang membawa kepada berlakunya perpecahan berasaskan semangat perkauman yang sempit dan fanatik mazhab. 

Setelah itu, kebangkitan semula umat Islam menentang penjajah dimulakan oleh gerakan Islam yang dipimpin oleh para ulama’ atas prinsip Islam. Manakala konsepnya itu ditunjukkan oleh al-Quran dan pelaksanaannya pula dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan generasi awal Islam, sehingga penjajah berjaya diundurkan.  

Kesan daripada agenda serangan pemikiran oleh penjajah telah berjaya menghimpit umat Islam, sehingga kumpulan Islam disingkirkan dan umat masih berpecah belah. Perkara tersebut berlaku akibat agenda penjajah itu yang meninggalkan warisan jahiliah fanatik kaum yang berjenama baharu iaitu nasionalisme yang menjadi penyakit lama yang berakar umbi. Di samping itu, juga berpunca daripada kejahilan umat terhadap agama dan ilmu duniawi yang berpandukan Islam. 

Maka, peranan gerakan Islam yang dibawa oleh parti yang berasaskan Islam yang sempurna seperti PAS ialah membawa umat kepada landasan yang asal mengikut acuan Islam yang sebenar. Maka, PAS tidak boleh ditarik atau diheret oleh mana-mana pihak supaya menjadi parti nasionalis yang sempit dengan melaksanakan Islam sepertimana zaman penjajah kerana bercanggah dengan mesej Islam yang termaktub dalam Perlembagaannya. 

Pendekatan terkini ialah mewujudkan konsep Islam memimpin masyarakat majmuk. Justeru, PAS menolak sebarang agenda yang tidak mengikut acuan Islam tetapi bertujuan menghimpit gerakan Islam dan menyempitkan perjalanannya sehingga sesat berpecah. Bahkan, juga agenda perpaduan fanatik kaum yang sempit tidak membawa mesej Islam kepada seluruh manusia. 

Termasuklah agenda yang melaksanakan Islam secara tidak sempurna berkonsepkan sekularisme, sehingga menolong kemungkaran bangsa sendiri tanpa bersifat integriti. Allah SWT memberikan peringatan sebagaimana firman-Nya kepada Bani Isra’il:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٨٥ 

“Sesudah itu maka patutkah kalian hanya mempercayai sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kalian, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Baqarah: 85)

Berpandukan Islam tersebut, maka setiap ahli PAS dapat membezakan bahawa terdapat perpaduan yang diwajibkan dan perpaduan yang diharamkan melalui pendekatan yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢ 

“Dan hendaklah kalian saling bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kalian saling bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Berdasarkan konsep dalam ayat di atas itulah Rasulullah SAW menolak tawaran oleh para pemimpin Makkah supaya Baginda sahaja menjadi raja atau pemimpin di Makkah dengan tawaran harta dan wanita. Sebaliknya, Rasulullah SAW memilih untuk bersusah payah dengan sabar berhijrah ke Madinah bersama masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan masyarakat majmuk. 

Baginda SAW membawa prinsip beriman dan berakhlak mulia yang mencipta para pemimpin yang berintegriti berasaskan iman dan taqwa. Selain itu, membentuk pemimpin yang tidak menipu dan tidak mengamalkan rasuah yang dilindungi oleh undang-undang ciptaan manusia. 

Pelaksanaannya mestilah bebas daripada himpitan ideologi ciptaan penjajah yang mahu memadamkan cahaya Islam dan menghancurkan umatnya supaya mereka dapat menjajah semula.

Teruskan beristiqamah tanpa dihanyutkan ke kanan mahupun ke kiri. Kuatkan PAS, janganlah menjadi lemah dan dilemahkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Jumada al-Akhirah 1443 / 17 Januari 2022

Ulasan