Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU - Ameerah Terengganu komited dalam inisiatif memberi kesedaran politik Islam dan kewajipan memilih pemimpin yang dapat memimpin rakyat untuk para pengundi muda pertama 18 tahun (U18).
Pengarahnya Asma' Abdullah berkata, gerakan di peringkat akar umbi akan dapat mencapai 60 peratus pertama U18 bagi menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 nanti.
"Ameerah Terengganu memberikan pendidikan politik melalui program maya dan media sosial.
"pengundi U18 rata-ratanya berada dalam dunia maya dan mereka lebih terdedah dengan pengaruh media oleh parti politik yang sedang merebut minda mereka untuk menilai kepimpinan dan parti politik masing-masing," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai U18 pada hari ini.
Menurutnya, Muslimat Muda PAS optimis dengan pendaftaran oromatik pengundi baharu yang berumur 18 tahun, khususnya wanita muda yang akan menjadi pengundi kali pertama.
Tambah Asma', secara tidak langsung ia memberi peluang kepada mereka terlibat, sama ada dalam membuat pilihan dan memberi pandangan serta dalam dunia siasah.
"Sebelum ini, kami telah mengatur dan mengadakan program menyantuni golongan wanita muda termasuk dalam kalangan remaja.
"Sejak wabak covid 19 melanda kita terpaksa menangguhkan program berbentuk bersemuka dan tidak dapat berhubung secara terus dengan golongan muda ini," ujarnya.
Kata beliau, Ameerah melalui Exco Hal Ehwal Remaja (HER) akan menyusun semula program dan aktiviti bagi kembali merapatkan hubungan.
Disamping itu katanya, program-program yang bersesuaian akan diteruskan bagi mendekati mereka.
"Dalam masa yang sama, kita bersedia bekerjasama dengan pihak kerajaan dan NGO melalui aktiviti wanita, sukan, belia dan sebagainya," tambah beliau lagi.
Justeru itu, beliau yakin pengundi muda 18 akan turun menunaikan tanggungjawab mereka, keluar mengundi serta memilih dengan mengekalkan kerajaan PAS.
Ulasan