29 Januari 2022

Pemergian Tokoh Tafsir al-Allamah al-Syeikh Dr Solah al-Khalidi


Umat kehilangan seorang lagi permata Ulamak. Perkhabaran sedih dari bumi Urdun pagi ini ialah pemergian Tokoh Ulamak Tafsir, al-Allamah al-Syeikh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi pada usia 75 tahun. 

Saya sempat menuntut ilmu daripada beliau dengan membaca kitab nahu Muktasar Jiddan, sebahagian Tafsir Ibni Kathir dan kitab Fiqh al-Muhazzab sekitar tahun 1992-1994. 

Beliau seorang Khatib yang sangat hebat berkhutbah sebaris dengan rakan karib beliau Syeikh Dr Hammam Sa'id. Beliau pakar dan tokoh di bidang tafsir manakala rakan beliau Syeikh Dr Hammam Sa'id pakar di bidang Hadis. Saya sempat mempelajari sebahagian kitab al-Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi dengan Syeikh Dr Hammam. Lebih menarik lagi kedua-dua mereka merupakan Alim Haraki, Ulamak yang aktif menulis dan mengajar serta terlibat aktif dalam gerakan Islam Ikhwan Muslimin. 

Tulisan dan pemikiran Dr Solah al-Khalidi selalu saya titipkan dalam kuliah-kuliah saya. Kepakaran beliau khususnya dalam menghuraikan rahsia dan mukjizat makna kalimah-kalimah al-Quran sangat menarik minat saya. Kajian Master dan PhD beliau tentang Syed Qutb dan Tafsir Fi Zilal al-Quran benar-benar mengangkat kehebatan Syed Qutb dalam mentafsirkan al-Quran dari sudut Balaghah menerusi Taswir Fanni (gambaran seni) dalam al-Quran. Malah Dr Solah al-Khalidi juga menjadi inspirasi saya untuk membuat kajian Master dan PhD berkaitan dengan kalimah al-Quran iaitu (دلالة حروف العطف والجر عند النحاة والأصوليين وأثرها في فهم النص التشريعي) dan Retorik Partikel Waw Dalam Al-Quran dan Pengaruhnya Terhadap Terjemahan Makna al-Quran Dalam Bahasa Melayu. 

Beliau mengarang lebih 40 buku. Antara karya dan sumbangan besar beliau yang pasti dikenang dan dimanfaatkan oleh Ulamak dan penuntut ilmu di bidang Tafsir ialah Tahzib Tafsir Tabari (7 jilid), Tahzib Tafsir Ibni Kathir (6 jilid) dan Qasas al-Quran (4 jilid).

Antara peringatan yang sangat bermakna daripada beliau ialah "seorang Ulamak mesti menggabungkan antara gerak kerja dakwah dan penulisan". Sesuatu yang pastinya memberi kesan kepada jiwa para Ulamak yang berdakwah di lapangan. 

Saya sempat menziarahi beliau pada 16 Mac 2017 bersama-sama YB Ustaz Nik Abduh dan Ust Nasrudin Hasan Tantawi dalam misi khas bertemu beliau dan Syeikh Dr Hammam Sa'id. 

Moga Allah merahmati guruku ini. Moga segala aktiviti penyebaran ilmu beliau menerusi kuliah dan ceramah yang bertebaran di Internet serta penulisan beliau yang begitu banyak menjadi amal jariah beliau di saat bertemu Maha Pencipta. 


https://fb.watch/aQdRUte5Ef/

Dr Khairuddin Takiri

29hb Januari 2022

#صلاح الخالدي


Tiada ulasan:

Rayuan Bantuan Untuk Mangsa Banjir Baling

"Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menut...