Pengguguran Pemimpin Perkara Biasa

 


Oleh KAM

MARANG - Pengguguran pemimpin daripada menganggotai jawatan  samada peringkat PAS pusat atau yang lebih rendah tidak menimbulkan sebarang masalah perpaduan dalam PAS.

Sebaliknya, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa, parti itu pernah mengalami peristiwa yang lebih besar hingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, PAS tidak terjejas malah krisis yang pernah berlaku di Kelantan tahun 1979 dan ramai yang meletak jawatan ketika itu, PAS bangkit semula.

“Tak ada perpecahan. Kita (PAS) mengalami (isu) besar daripada itu, dan tubuh PAN (Parti Amanah Malaysia) anjuran DAP dan PKR, dapat menarik sebahagian mereka. 

“PAS tidak terjejas, bahkan krisis di Kelantan tahun 1979, ramai-ramai letak jawatan (tapi) PAS tidak terjejas, bangkit semula, dan tawan balik Kelantan, tawan balik Terengganu. 

“Biasalah pohon kayu, dia (daun) gugur, selepas itu tumbuh balik,” ujarnya dengan peribahasa Melayu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam.

Ketika ditanya, ada pihak mahukan penjelasan pimpinan PAS berkait isu masalah disiplin parti.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, masalah disiplin ‘dalaman’ parti bagi ahli-ahli parti sahaja yang tidak perlu dihebohkan.

“Itu masalah disiplin, perkara ‘dalaman’ parti untuk ahli-ahli parti sahaja. Tak perlu (heboh) dan saya mendapat maklumat daripada akar umbi, 99.9 peratus berpuas hati,” tegasnya.

Ulasan