Pluralisme Agama Ancaman Umat Akhir Zaman


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Mendidih hangat medsos hari ini serta kelmarin dengan isu ucapan selamat hari agama Sedunia oleh seorang sosok penting NGO negara ini, mantan Ketua wanita NGO pro Dap itu akhirnya memohon maaf dan menarik balik muat turun status beliau di mukabuku. 

Penghujung Disember lepas, tukar video seorang pemimpin pembangkang yang juga Ahli Parlimen  Muar  berkaitan video santai ucap selamat  sambutan perayaan krismas  dengan seorang tokoh muda  DAP di Selangor. 

Fenomena memandang mudah  soal akidah seakan menjadi budaya dalam masyarakat terutama anak- anak muda negara ini. Lihat sahaja bagaimana dasyatnya daie popular  Ustaz Azhar Idrus diserang oleh netizen apabila menasihatkan anak - anak muda dalam isu membersihkan rumah ibadah agama lain.

Penyakit ini sedang mewabak dan bernanah dalam masyarakat, jika tak dibendung akan menyeret lebih ramai mangsa dikalangan kelompok anak muda yang jahil. Kesan berangkai fahaman ini akibat masyarakat Islam yang mula menjauhkan diri daripada ilmuan Islam, dibantu dengan dunia langit terbuka , masyarakat yang ingin  membebaskan diri daripada sumber àutentik Islam. Ulama kontemporari wajib berani menyanggah wacana kelompok ini secara terbuka serta memanfaatkan kemudahan dunia digital Masa kini.

Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo muktazilah, dalam sejarahnya sangat bejat menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas di zaman transisi pasca Mei 1998.

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama pernah  melarang wacana Mustapha Akyol, seorang sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran carafikir mereka.

CIRI-CIRI FAHAMAN ISLAM LIBERAL

1. Mereka menganut fahaman pluralisme

Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut:

a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dnya an ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan

b. Kerana terpengaruh dengan fahaman pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah. 

Bagi kelompok Islam liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi; “Tidak ada paksaan dalam agama”. (Al-Baqarah; 256)

Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. Murtad membawa kepada implikasi hukuman mati berdasarkan perundangan Islam, sebagaimana Hadith riwayat daripada Imam Bukhari.

Beratnya hukuman akibat murtad adalah manifestasi betapa Islam sangat menjaga kesucian akidah dan tidak berkompromi dengan nilai syirik serta kekufuran. Penekanan kepada soal menjaga akidah, batas batas Iman dan kufur wajib menjadi agenda utama kerajaan , gerakan Islam serta masyarakat Islam umumnya. Berwaspadalah dengan jarum halus musuh Islam melakar gerakerja mereka menimbulkan kerancuan berfikir kepada ummat.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )

Ulasan