Jangan Ingkar Walaupun Tidak Diambil Tindakan


Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU - Wanita Terengganu seharusnya tidak ingkar hukum syarak dan culas memakai tudung walaupun tidak pernah diambil tindakan ataupun didenda,

Pengarah Nisa’ Terengganu, YM Tengku Fatimah Tengku Hashim berkata, pelbagai alasan dikemukan oleh golongan yang tidak mahu berhijab, bahkan ramai kalangan mereka masih tidak menghayati perintah Allah tersebut.

Menurutnya, kaum hawa negeri ini sepatutnya bersyukur kerana tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang walaupun enakmen berkaitan telah ditetapkan.

Sebaliknya kata beliau, bagi mereka yang telah bertudung, perlulah menjaganya dengan sempurna sebagaimana disuruh agama. 

“Jika kita telah berhijab, maka jagalah hijab kita jangan ditambah tokok dengan aksesori yang melampaui batas,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Terengganu Hijab Day 2022, yang diadakan di Perpustakaan Awam Terengganu, pada  Sabtu, 13 Februari.

Justeru itu, beliau menasihati semua kaum Hawa Terengganu agar menutup aurat dengan sempurna.

“Jangan dibuat bonggol di atas kepala. Dan jangan pula memakai hijab tetapi masih nampak dadanya, lengannya, bentuk leher dan sebagainya.

“Dan jika kita masih belum mengenakan hijab maka sebelum keluar daripada rumah, ambillah peluang ini sebagai permulaan untuk kita mengenakan hijab dan ikhlaskan niat kerana Allah.

"Semoga  niat suci kita diredhai Allah dan terus tetap istiqamah mudah mudahan,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, 'Terengganu Hijab Day' merupakan program tahunan pada setiap 1 Februari yang dianjurkan oleh ADUN Wanita Terengganu, Urus Setia Wanita Terengganu dengan kerja sama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Nisa' Terengganu, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) dan Setia.

Ulasan