Oleh : Hidayah Azlin
TERENGGANU – Kemasyhuran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman di bawah barisan kepimpinan PAS terus berkembang dengan cara tersendiri.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dr Azman Ibrahim berkata, kerja-kerja pembangunan, pentadbiran, kebajikan dan sebagainya terus ditambahbaik tanpa memperlekeh serta persoalkan kepimpinan terdahulu.
"Saya aya okay je dengan pertanyaan sinis berbaur provokasi yang mempersoalkan apa pembangunan yang Kerajaan PAS Terengganu buat.
"Memang pembangunan yang kita buat tidak sehebat Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir, Taman Burung Tasik Kenyir, Taman Ilmu, Strawberry Park, Bas Amphibia dan lain-lain,
"Kami mensasarkan pembangunan yang boleh dinikmati hasilnya oleh rakyat walau ia tak kelihatan gah. Tahun 2021 sahaja kita berjaya menyiapkan 45 daripada perancangan 45 projek pembangunan sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021.
"Tak kira lagi apa yang kita dah buat sepanjang 2018, 2019 dan 2020.’’ Jelasnya menerusi laman sosial miliknya semalam.
Exco kerajaan negeri Terengganu itu menegaskan, semua orang perlu tahu dan memahami perbezaan antara makna pembangunan dan buat bangunan.
"Buat bangunan ialah sebahagian dari pembangunan tapi pembangunan bukan maknanya mesti buat bangunan,
"Bagi saya, nak jadi hebat kita mesti mampu melakukan apa yang lebih baik dari kepimpinan sebelum ini tanpa perlu memperlekehkan legasi yang telah ditinggalkan.’’ tegasnya.
Tambahnya, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri lepas sering kali beliau berucap serta memberikan penghargaan atas segala tinggalan dan kerja-kerja baik kerajaan sebelum ini kepada sektor pertanian.
"Tiada nada memperlekehkan sama sekali. Ini cara kita.’’ ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan PAS Terengganu memberi peruntukan Bantuan Am RM250, 000 kepada semua 10 orang ADUN bukan kerajaan.
" Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno atau Barisan Nasional (BN) Terenganu diberi peruntukan sebanyak RM250,000 dan ini tidak pernah diperolehi oleh ADUN PAS sebelum ini. Ini cara kami di Terengganu.
" pohon yang berbuah ranum tetap akan menjatuhkan buah-buah yang manis dan enak dimakan walaupun dibaling dengan kayu dan batu. Kita tak balas baling balik.’’ Katanya lagi.
Ulasan