PAS KT Lancar Kad Laporan 3.0 Maya


KUALA TERENGGANU - PAS Kawasan Kuala Terengganu  melancarkan Kad Laporan bagi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) edisi ketiga (Kad Laporan 3.0) secara maya melalui laman sosial wakil rakyat kawasan itu hari ini.

Ketua Penerangan PAS Kawasan itu, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebanyak 4,000 naskahedisi bercetak kad laporan itu telah diedarkan  di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Hari ini Lujnah Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu mewakili PAS Kawasan Kuala Terengganu  mula melancarkan edisi maya dengan kerjasama Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Kuala Terengganu di laman sosial Yang Berhormat,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran kad laporan itu di sini hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu berkata, sebelum ini PAS Kuala Terengganu berjaya menerbitkan edisi pertama dan kedua serta edisi Khidmat Malaysia bagi melaporkan aktiviti wakil rakyat di Kawasan tersebut sepanjang perkhidmatan mereka sejak tahun 2018.

“In Sya Allah Kad laporan seumpama itu akan diterbitkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan supaya orang ramai menerima maklumat mengenai perkhidmatan mereka dan bantuan kerajaan kepada rakyat di Parlimen Kuala Terengganu,” jelasnya. 

Katanya, Kad Laporan 3.0 mengandungi maklumat jumlah peruntukan baiki rumah di setiap DUN di muka surat hadapannya termasuk di DUN Wakaf Mempelam, DUN Batu Buruk, DUN Ladang dan DUN Bandar.

Selain itu katanya, ia mengandungi maklumat bantuan berkat, bantuan persekolahan dan aktiviti ADUN Wanita, Hajah Zuraida Md. Noor.

Sementara menurutnya, Kad Laporan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu pula mengandungi maklumat misi bantuan banjir ke Raub Pahang dan bantuan pasca banjir di seluruh Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, jika tidak ada aral melintang muka surat pertama mula dilancarkan hari ini di laman sosial dan menyusul muka surat berikutnya, esok dan lusa.

“Untuk maklumat lanjut mengenai kad laporan berkenaan sila layari page Yang Berhormat dari Kawasan Kuala Terengganu di laman sosial dari semasa ke semasa,” ujarnya.

ADUN bagi Kawasan Kuala Terengganu termasuk ADUN Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, ADUN Bandar Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Ulasan