Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia


 MINGGU AL-QUDS SEDUNIA: AID4PALESTINE DENGAN KERJASAMA PEJABAT UTUSAN KHAS PERDANA MENTERI KE TIMUR TENGAH KOMITED GERAKKAN USAHA PEMBEBASAN AL-QUDS DAN SOLIDARITI BUAT RAKYAT PALESTIN YANG DIJAJAH

1. Bersempena dengan Minggu Al-Quds Sedunia yang akan berlangsung pada 25 Februari – 5 Mac 2022 (23 Rejab – 1 Sya’ban 1433H), AID4PALESTINE dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah mengambil tanggungjawab untuk mempelopori penganjurannya di Malaysia dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta, NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan rakyat. 

2. Minggu Al-Quds Sedunia yang digerakkan serentak di seluruh dunia adalah suatu inisiatif besar yang berimpak tinggi cetusan gabungan persatuan-persatuan ulama’ Islam dari pelbagai negara bagi mengangkat solidariti ummah seantero dunia, termasuk di Malaysia nan tercinta untuk bangkit bersama dengan kesedaran, kefahaman serta tindakan ke arah pembebasan Al-Quds dan Pa.lestin yang terus dijajah dan dijarah oleh rejim I.srael. 

3. Isu Al-Quds dan Pa.lestin ini bukanlah isu setempat bagi rakyat Palestin, bukan juga isu serantau bagi bangsa Arab, bahkan ia adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu diperjuangkan oleh semua manusia yang merdeka tanpa mengira bangsa dan agama. Bagi umat Islam, isu ini lebih penting kerana ia menyentuh soal tanah suci yang tidak boleh dikompromi. Di tanah inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan salah satu hentian Israk dan Mikraj. Firman Allah s.w.t.:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [al-Isra’: 1]

4. Pemilihan minggu terakhir bulan Rejab bersempena tarikh keramat pembebasan Baitul Maqdis di tangan Salahuddin al-Ayyubi yang tegas terhadap musuh Islam bagi penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia setiap tahun mempertegas pendirian ummah untuk menyanggah tindakan normalisasi hubungan terhadap rejim Israel yang ternyata angkuh terus menjajah dan menzalimi rakyat Palestin malah mendobrak kesucian bumi Al-Quds dengan kebiadapan. Tindakan seumpama ini sebenarnya telah lama dilarang oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ...

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran yang sampai kepada kamu…”. [al-Mumtahanah: 1]

5. Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia di peringkat Malaysia pada tahun ini akan merangkumi pelbagai program yang mensasarkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan rakyat seperti Karnival #Malaysia4AlQuds, Kayuhan serta Konvoi Solidariti #Malaysia4AlQuds, Ceramah, Webinar Antarabangsa dan Khutbah Perdana Al-Quds juga kempen Solidariti #Malaysia4AlQuds telah disusun untuk dilaksanakan sepanjang minggu yang berkenaan.

6. Sehubungan itu, AID4PALESTINE dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama berkongsi rasa, memperteguh solidariti Al-Quds dengan saudara-saudara kita di Pa.lestin, sekaligus terlibat dalam menjayakan Minggu Al-Quds Sedunia ini inshaAllah.

“Malaysia For Al-Quds”


YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

PENGERUSI AID4PALESTINE

Ulasan