Perbandingan Binatang Adalah Sunnah al-Quran dan Adat Melayu


Gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan. Perbandingan merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia. Antara peribahasa yang banyak dalam Al-Quran ialah melibatkan binatang. 

2. Al-Quran dalam Surah al-A'raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

3. Dalam Surah al-Jum'ah ayat 5 dibandingkan pula golongan berilmu yang tak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan  yang bermanfaat. 

4. Al-Quran juga menggunakan perbandingan binatang bernama lalat dalam Surah al-Hajj ayat 73 bagi menggambarkan kesesatan mereka yang menyembah patung berhala. Lalat adalah binatang yang hinggap di atas benda yang kotor seumpama tahi.

5. Dalam Surah al-Furqan ayat 44 al-Quran menggunakan perbandingan binatang ternakan kepada golongan yang tidak mahu menggunakan akal, mata dan telinga untuk mencari kebenaran.

6. Dalam Surah al-Ankabut ayat 41 pula Allah membandingkan golongan yang mengambil selain Allah sebagai pembantu ibarat labah-labah yang membina sarang.

7. Dalam Surah al-Qari'ah ayat 1-4 manusia di hari Qiamat dibandingkan pula dengan rama-rama yang berterbangan.

8. Demikianlah al-Quran menggunakan binatang sebagai perbandingan. Justeru, apabila Presiden PAS menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapan, beliau hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran. Sekiranya beliau dituduh "ahli zoologi" bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersendakan ia seumpama memperkecilkan juga gaya bahasa al-Quran.

9. Bahkan bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup di alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis binatang. 

10. Antara binatang yang sering dijadikan perbandingan dalam peribahasa ialah ubur-ubur, ikan, harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

11. Bagai ubur-ubur airnya hitam bermaksud daripada tingkahlaku dan bahasanya, diketahui orang itu jahat.

12. Seperti ikan dalam belanga bermaksud memperoleh keuntungan yang tidak akan terlepas lagi.

13. Antaranya lagi, gajah lalu rumpainya layu, seperti harimau beranak kecil, cacing hendak menjadi naga, seperti anjing dan kucing, kepala tersangkut dengan kulit babi, adakah buaya menolak bangkai, seumpama lintah darat, jika kepalanya ular takkan ekornya belut, seperti nyiur ditebuk tupai, musang berbulu ayam dan banyak lagi. 

14. Kesimpulannya, perbandingan dengan binatang adalah sunnah al-Quran dan adat Melayu yang kaya dengan bahasa. Jika mahu dikatakan ahli zoologi maka sememangnya al-Quran dan bangsa Melayu adalah ahli zoologi yang kaya dengan ilmu tentang binatang. 


Dr Khairuddin Takiri

Ahad 6hb Februari 2022

Ulasan