23 Februari 2022

Selamatkan Aqidah Ummah; Negara Perlu Bergerak Ke Arah Pindaan Perlembagaan

 

Sejak ribuan tahun dahulu, Negara ini dibina di atas kerangka Hukum yang berteraskan Konsep Keadilan Islam, yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Ia menjadi latar pembentukan negara, dalam semua cabang Hukum kenegaraan, lantas berjaya membina satu tamadun Melayu-Islam dan memacukan kemakmuran masyarakat.

2. Undang-undang Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka (1450), Undang-Undang Laut Melaka (1400-1511), Undang- undang 99 Perak (1596), Undang-undang Kedah (837), Undang-undang Pahang (1572-1614) dan Undang-Undang Johor (1789) telah membuktikan bahawa hukum Islam, dengan penyesuaian hukum adat telah berjaya mengubah kehidupan masyarakat Melayu sejak dari kurun ke 14 sehingga kedatangan penjajah Inggeris. 

3. Pengiktirafan turut diberikan kepada undang- undang Islam sebagai Law of the Land bagi negeri-negeri Melayu telah dibuktikan seperti dalam kes  Ramah lwn Laton [1927]. Bahkan dalam kes Reg lwn Willans (1858), Hakim Maxwell telah menyokong Islam sebagai undang-undang tempatan serta mengiktiraf undang-undang Islam dengan memutuskan bahawa:

As a system of law which according to its own principles, can only be administered by Mohamedan Judges and Mohamedan arbitrators, upon the testimony of Mohamedan witnesses, is not a system which can devolve de jure and without express acceptance upon government and people of different faith. 

4. Namun penjajahan Inggeris telah secara terancang berjaya menerapkan roh undang-undang Inggeris yang diimport dari Common Law, Kaedah Ekuiti dan statut pemakaian am (statute of general application), serta secara terancang mengenepikan dan memperkecilkan Undang-Undang Islam dari Undang-Undang Sivil, melalui pemakaian Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Civil Law Act 1956).

5. Kesannya sangat jelas dan menakutkan. Hukum Islam dan bidangkuasa Mahkamah Syariah telah semakin terasing dan diperkecilkan peranannya dan dihadkan kepada perkara peribadi sahaja seperti perkahwinan, perceraian dan pewarisan sahaja.

6. Keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini sangat mendukacitakan dan merobek hati ummat Islam di Malaysia. 

7. Sejak 2018, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018 3 CLJ 145), Panel 5 Hakim telah sebulat suara menafsirkan perkataan “parent” dalam Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan sebagai Ibu dan bapa (bukan ibu atau bapa). Keputusan ini telah memberi kesan yang besar kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal Kelayakan Untuk Memeluk Islam bagi Kanak-Kanak di bawah umur atau belum mukallaf.

8. Pada 25.2021, Panel 9 Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes IKI PUTRA BIN MUBARAK -lwn- KERAJAAN NEGERI SELANGOR & MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELANGOR telah sebulat suara membatalkan Seksyen 28 Enakman Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi kesalahan liwat/persetubuhan luar tabii bagi penganut Islam, yang secara efektifnya akan memberi kesan terhadap semua kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama (against the precepts of Islam) sedia ada (yang telah lama digubal dan berkuatkuasa), selama mana ia boleh dikategorikan sebagai berada dalam kategori Klausa Pengecualian (Preclusion Clause – “except in regard to matters included in the Federal List”) Item I, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

9. Semalam, 21.2.2022 umat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan keputusan sebulat suara 9 Panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia) (Sisters In Islam) v. Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor, yang membenarkan permohonan Sisters In Islam untuk membatalkan Fatwa Negeri Selangor pada 17.7.2014 (yang memfatwakan bahawa SIS Forum (Malaysia) atau mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisma agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam), dan seterusnya memutuskan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, (pindaan 2015) sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

10. Jelas sekali Precedent perundangan terkini oleh Mahkamah tertinggi di negara ini, semakin membuka ruang kepada serangan demi serangan litigasi strategik yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk merungkai struktur asas perlembagaan, mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menggugatkan keharmonian negara.

11. Bahkan ia jelas mengundang ancaman besar terhadap Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri yang sedia ada di seluruh negara, merungkai bidangkuasa dan peranan Mahkamah Syariah, serta meragut dan merobek keupayaan dan kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal undang-undang yang berada di bawah bidang kuasanya, bahkan secara tidak langsung menyentuh kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

12. Justeru LUHAM menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut.

13. LUHAM juga menyeru Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidangkuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.


WAN ROHIMI BIN WAN DAUD

Pengerusi,

Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat 

22 Februari 2022

Tiada ulasan:

Haji : Perpaduan Umat Ke Arah Satu Kiblat

Para jemaah haji yang datang dari seluruh penjuru dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah bagi menyahut seruan Nabi Ibrahim AS. Baginda AS dahu...