142 Penternak Akuakultur Terkesan Banjir Akan Diberi Bantuan

 


KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu akan menyalurkan bantuan kepada 142 penternak akuakultur seluruh negeri yang terkesan banjir baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dr Azman Ibrahim berkata, kerugian dialami mereka melibatkan anggaran RM6.9 juta.

“Ikan-ikan yang mati majoritinya bersaiz hampir boleh dipasarkan kerana penternak mensasarkan pasaran sepanjang Ramadhan yang bakal menjelang.

“Majoriti mereka adalah penternak yang menerima pembiayaan dari Skim Bantuan Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Agro Bank,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Pembangunan Desa Negeri.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri telah melakukan penyelarasan dengan agensi pemberi pinjaman yang berkenaan untuk dibuat penstrukturan semula pinjaman bagi membantu penternak bangkit kembali.

“Dalam masa yang sama, proses penyaluran bantuan bencana dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang diuruskan,” jelasnya.

Ulasan