Dr. Sam Ucap Terima Kasih Kepada Petugas Terengganu


SEKIJANG - Naib Presiden PAS,  Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada semua jentera petugas PAS Terengganu yang membantu Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Johor.

Dr. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, dengan usaha bertungkus lumus membantu calon PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional, kejayaan akan diperolehi dalam pada hari mengundi, 12 Mac nanti. 

“Tahniah atas komitmen yang tidak pernah berhenti, selepas membantu mangsa banjir di negeri sendiri, kalian bergilir tiba di bumi Darul Takzim bagi membantu calon kita. 

“Hanya Allah SWT sahaja yang akan menilai dan memberi ganjaran di akhirat, insyaAllah," ujarnya. 


Beliau terharu dengan komitmen yang ditunjukkan, menzahirkan ucapan tersebut ketika melawat Markaz Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah.

Turut bersama-sama beliau ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. 

Gandingan pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu ini juga telah turun ke DUN Pemanis dan Jementah bagi menyampaikan amanat dan menyantuni pengundi di situ.


Ulasan