Jagalah Lisanmu


Banyaknya amalan fardu dan amalan sunat kita tidak menjamin kedudukan kita di syurga. Kalau kita perhatikan, ada sesetengah orang yang sangat rajin membuat amalan sunat, banyak berbuat baik dan selalu bersedekah, tetapi hendak menjaga mulut kita ini adalah sesuatu yang sangat susah.

Maka Nabi SAW memberi amaran kepada kita bahawa semua amalan kita akan habis pahala kebaikannya jika kita tidak menjaga apa yang keluar daripada mulut kita sehingga mengganggu keharmonian masyarakat.

Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?” a

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka.” Mereka bertanya lagi: “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”. Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk penghuni syurga.” Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (119).

Hari ini banyak dosa lisan kita digantikan dalam bentuk tulisan yang jauh lebih kesat dan penuh dengan fitnah yang disebarkan di media sosial. Maka jagalah lisan dan tulisan kita, takut-takut disebarkan sehingga bersambung-sambung dosa kita kepada orang lain.


Sunnah dan Hikmah 050

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary

12 Syaaban 1443H / 15 Mac 2022 

Ulasan