Misi Pasca Banjir; KHIDMAT Dungun Hantar JAM


 Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN - Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT) Dungun menghantar Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan itu untuk menjayakan Misi Pasca Banjir ke Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi.

Pengarahnya, Khairul Ismail berkata dengan anggota seramai 30 orang dan peralatan yang lengkap mereka akan ke Rantau Panjang dan Kuala Jengal.

"Mereka akan ke rumah-rumah  warga emas yang  dikenal pasti oleh Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Cawangan, untuk melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka memandangkan air pun sudah surut "ujarnya.

Khairul ditemui selepas majlis perlepasan misi yang disempurnakan oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun  di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang di sini semalam.

Beliau juga turut menasihati agar orang ramai jangan mengambil mudah dan sentiasa berwaspada apabila berlakunya hujan lebat.


"Ada yang mengambil mudah, sekarang bulan Mac, mana ada banjir bulan Mac, sekarang tidak kira, bagi kami di KHIDMAT, kami mendapat maklumat awal tentang situasi terkini keadaan cuaca dan sebagainya, jika diarah berpindah, berpindahlah segera, sebelum berlaku perkara yang tidak diingini, " jelasnya.

Manakala Cikgu Alias mengingatkan supaya anggota JAM yang menyertai misi tersebut sentiasa mematuhi  Prosedur Operasi Standard(SOP) memandangkan penularan Covid-19 masih belum reda.

"Tetapi kita terpaksa juga meneruskan misi ini sebab keadaan amat memerlukan, dengan warga emas yang tidak berdaya untuk bersih rumah yang berselut selepas rumah dinaiki air. 

" Jadi kita beringatlah selalu, sentiasa basuh tangan, tidak bersentuhan dan sentiasa pakai topeng muka," katanya.

Ulasan