MN : UMNO Terengganu Jangan Pesong Fakta


KUALA TERENGGANU - Tindakan UMNO Terengganu yang mengambarkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak Muafakat Nasional (MN) dan mahu berpecah adalah satu tindakan untuk memesongkan fakta sebenar. 

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyangkal dakwaan tersebut sambil menegaskan UMNO yang menjadi dalang rosaknya hubungan kedua-dua parti itu.

"Sebab itu kalau kita melihat kronologi untuk kita kupas 13 Ogos 2020, satu persetujuan bersama telah dimeterai oleh kedua-dua Presiden parti untuk menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (PPBM)menyertai MN,.

“Usaha tersebut adalah untuk memperkukuhkan MN, namun pada 18 Ogos 2020 Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan akarumbi tidak bersetuju menjemput PPBM menyertai MN,” tegasnya ketika berucap di  Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Negeri semalam.

Menurut Ustaz Hishamuddin, di sebalik tindakan itu PAS tetap berusaha untuk mendamaikan kedua-dua parti demi kestabilan politik umat Islam.

“Susulan itu pada 11 September 2020, PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memberi laluan kepada rakan MN dan Perikatan Nasional (PN). 

“Tetapi pengorbanan PAS seolah-olah tidak dipandang apabila pada 4 Disember 2020 UMNO bertindak melakukan undi tidak percaya di Perak tanpa melakukan sebarang perbincangan dengan pihak PAS,” jelasnya. 

Kata Ustaz Hishamuddin, keadaan bertambah rumit Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kewujudan MN dan memberitahu UMNO akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum dan Negeri.

“13 Oktober 2021 Ahmad Zahid mengumumkan UMNO/BN bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana, antara punca tiada kerjasama dengan PAS ialah MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan,” jelasnya.

Justeru ujarnya, berdasarkan kronologi itu sangat tidak tepat untuk menyalahkan PAS. 

"Marilah sama-sama kita mencari jalan apakah lagi ruang yang boleh untuk kita pertingkatkan kerjasama paling tidak hargailah kerajaan dan rakyat negeri Terengganu pada hari ini,” tambah beliau.

Ulasan