Pemuda Kuala Nerus Siap Sedia


KUALA NERUS - Pemuda PAS Kuala Nerus bersedia untuk bergerak tanpa Ahli Parlimen setelah Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar daripada parti.

Ketuanya, Ustaz Mohd Riduan Abu Bakar berkata, para pemuda berikrar akan terus berkhidmat bersama 'jemaah', sampai mati.

“Walaupun wakil rakyat yang kami angkat mewakili kerusi Parlimen sudah meninggalkan kami, namun semangat kami untuk membawa obor Islam tidak akan pernah pudar.

“Kepada seluruh anggota PAS terutama pemuda, usah bersedih  dengan sikap dia, Ambillah episod ini sebagai iktibar bahawa ‘istiqamah’ bukan perkara mudah." tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Oleh itu, beliau menyeru agar pemuda mezahirkan akhlak Islam dalam sebarang respon terhadap isu dan tidak lupa berdoa kepada Allah.

Katanya, 'sunnatullah' dan sejarah telah merekodkan, perjuangan suci itu tidak pernah sunyi daripada 'datang dan perginya' pemimpin. 

"Kita pernah kehilangan Presiden, Timbalan Presiden, Ahli Majlis Syura dan ramai lagi. Walaupun kami tak sangka orang seterusnya adalah YB, tapi kami redha. 

"ada pemimpin yang terlajak setiap kali tahalluf berlaku, ada yang tidak sanggup meninggalkan rakan bila nakhoda putuskan,” tegasnya.

Lebih terkilan, tambah beliau, apabila Khairuddin sanggup  mengaibkan parti dan presiden PAS di khalayak umum.

“Ketidakpuasan hati yang diutarakan semalam hanya berkisar proses dan strategi semasa, boleh jadi betul atau tidak betul, boleh jadi YB tidak faham strategi semasa.

"Tapi selagi ketetapan parti tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal kami diajar untuk terus dengar, patuh dan laksanakan," ujarnya. 

Justeru, beliau bersama seluruh Pemuda PAS Kuala Nerus bersedia mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, sebagaimana telah dibuktikan sebelumnya. 

"Kami yakin ADUN dan Penyelaras yang ada akan terus berbakti seperti sedia kala,” jelasnya. 


Ulasan