KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu sangat menghargai peranan media yang banyak membantu menyampaikan maklumat kejayaan yang dicapai sepanjang pemerintahannya.
Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri berkata, selama ini mereka juga telah banyak berjasa dalam mempromosikan serta menyampaikan dasar, polisi, serta pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat.
"Saya berharap dengan adanya majlis berbuka puasa yang diadakan pada hari ini dapat mengeratkan lagi hubungan dan jalinan silaturrahim antara Kerajaan dan juga pengamal media.
"Juga sebagai tanda ucapan terima kasih kepada semua pihak media yang selama ini telah memberikan liputan yang baik terhadap segala usaha dan perancangan yang telah dilakukan," ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika berucap, di Majlis Berbuka Puasa bersama Media Terengganu, di Duyong Marina, Resort, di sini, pada Selasa 12 April.
Dalam majlis yang diadakan itu, seramai lebih 100 pengamal media telah diraikan.
Dalam pada itu Bendahari PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, selama ini pihaknya sentiasa mengambil cakna akan peranan yang dimainkan oleh pihak media agar dinilai dan dilihat rakyat sebagai sebuah kerajaan yang sangat mementingkan kebajikan.
"Kerana itu kita sememangnya mengiktiraf media sebagai rakan strategik kerajaan untuk jangka masa panjang,
"hubungan yang telah terjalin ini perlu diperkuatkan lagi dengan mengadakan program seperti yang dianjurkan pada hari ini," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu.
Ulasan