Ramai dalam kalangan mereka yang mengeluarkan kenyataan masing-masing bagi menyokong wujudnya perpaduan umat dengan pendekatan mereka sendiri. Bahkan, ada juga kalangan yang menganggapnya tidak penting kerana ia adalah semata-mata untuk menegakkan agenda peribadi atau kumpulannya sahaja untuk berkuasa.
Al-Quran ialah sebuah kitab suci yang menjelaskan petunjuk Allah SWT. Kitab yang membawa agenda perpaduan umat manusia seluruhnya yang bersifat majmuk, kerana semua dalam kalangan mereka adalah makhluk ciptaan Allah SWT.
Islam pula membawa risalah sejagat dengan menugaskan manusia agar berperanan di alam dunia, sebelum dihisab di alam akhirat kelak. Inilah keimanan setiap penganut Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Allah SWT daripada kitab suci al-Quran dan teladan daripada Rasulullah SAW.
Tonggaknya adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menjadikan kalian (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)
Ayat di atas menunjukkan bahawa seluruh manusia merupakan satu keluarga besar yang berasal daripada pasangan Nabi Adam AS dan Hawwa’ AS. Setelah itu, zuriat mereka berdua berkembang ke seluruh pelosok dunia membentuk berbagai-bagai bangsa serta menganut pelbagai agama dan budaya.
Perkara tersebut dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)
Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa manusia adalah hidup bermasyarakat madani. Ibn Khaldun RH, bapa ilmu kemasyarakatan pernah menegaskan bahawa masyarakat madani menjadi sebahagian daripada fitrah manusia.
Masyarakat madani (dalam bahasa asing disebutkan ‘civil society’) dapat diertikan sebagai suatu masyarakat yang beradab dalam membangun, menjalani, dan memaknai kehidupannya. Istilah masyarakat madani dalam bahasa Barat adalah hasil terjemahan daripada perkataan ‘civil’ atau ‘civilized society’, yang bererti masyarakat yang mempunyai peradaban.
Adapun perkataan madani itu sendiri berasal daripada bahasa Arab. Kemungkinan kata asalnya daripada perkataan al-din dengan makna Islam yang sempurna yang berbeza daripada takrif agama sahaja, atau perkataan ‘tamaddun’ yang bererti proses kehidupan bermasyarakat yang berilmu dan membawa kemajuan dalam kehidupan. Malah, mungkin juga berasal daripada perkataan Madinah yang bererti bandar iaitu tempat manusia berkumpul dan mengumpulkan segala keperluan hidup.
Semua perkataan asal itu menunjukkan manusia wajib berhubungan sesama mereka bagi memenuhi keperluan hidup kerana adanya perbezaan ilmu, kemampuan berfikir dan hasil pendapatan berlainan. Segala aspek tersebut tidak boleh berpisah antara satu sama lain, tetapi memerlukan gabungan dan campuran dengan menjalani kehidupan bermasyarakat yang bermoral murni.
Rasulullah SAW telah menukar nama Yathrib atau Taibah yang menjadi wilayah Islam pertama kepada nama Madinah, suatu istilah yang merangkumi semua perkataan asal tersebut. Apa yang dilakukan adalah bagi membawa mesej Islam kepada seluruh manusia.
Konsep perpaduan dilaksanakan bermula dengan menyatupadukan umat Islam terlebih dahulu yang terdiri daripada kalangan penganut Islam. Hal ini demikian kerana, mereka bertanggungjawab untuk memimpin negara dan masyarakat majmuk.
Bersama-samanya adalah membawa risalah Islam tanpa paksaan kepada seluruh manusia, sama ada dengan menganut Islam atau bersama konsep adil kepada seluruh manusia. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:
﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada uli al-amr (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu, adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)
Maksud daripada perintah menunaikan amanah yang sempurna itu ialah memerintah berkonsepkan adil kepada seluruh manusia yang wajib berpandukan al-Quran dan Sunnah (teladan Rasulullah SAW). Kewajipan ini hanya boleh dilaksanakan oleh mereka yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berwawasan akhirat yang diyakini dan diimani. Perkara ini sekali gus menunjukkan ciri-ciri yang tidak lengkap dalam ideologi atau teori ciptaan manusia dan agama yang lain.
Oleh itu, dimulakan agenda perpaduan dalam kalangan penganut Islam yang beriman dengan memilih pemimpin utama daripada kalangan mereka yang beriman, berilmu dan berakhlak.
Perpaduan itu pula dilakukan mengikut acuan Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui berkenaan manusia yang diciptakan-Nya.
Firman Allah SWT:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (semasa jahiliah) saling bermusuh-musuhan; lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat hidayah-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Islam telah berjaya menyatukan bangsa Arab yang merupakan satu bangsa yang paling jahil dan ganas. Malah, berjaya menyatukan masyarakatnya yang berpecah belah sehingga menyebabkan mereka berperang sesama sendiri.
Perpaduan yang diketengahkan Islam bertujuan mengubah manusia agar bersama Islam dan akhlaknya yang mulia menjadikan mereka manusia yang beriman, berilmu, berakal, dan bijaksana. Selain itu, mendidik manusia dengan mendahulukan perdamaian dan berlaku adil bagi menjalani kehidupan bersama seluruh manusia masyarakat majmuk.
Sehinggakan, hilangnya fanatik kaum keluarga yang membejat manusia pada zaman itu yang dikenali dengan jahiliah (jahil). Hal ini termasuk apa yang berlaku di negara dan bangsa bertamadun yang dibina atas konsep kezaliman dan penindasan kerana berprinsip kebendaan dan dunia yang didorong oleh nafsu sehingga mengatasi akal.
Seterusnya, umat Islam bergabung dengan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem terhadap Islam atas konsep kemanusiaan dengan fikiran yang terbuka. Bahkan, untuk meneruskan kehidupan mengikut hak masing-masing tanpa gangguan terhadap pihak berbeza yang tidak melampaui batas.
Firman Allah SWT:
﴿۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨﴾
“Semoga Allah akan menimbulkan perasaan kasih sayang antara kalian dengan orang-orang yang kalian musuhi daripada kalangan kerabat kalian itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7); Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8)” (Surah al-Mumtahanah: 7-8)
Pada masa yang sama, Islam juga mendahulukan perdamaian terhadap musuh yang melampau sehingga mereka sanggup menceroboh. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah Tuhan yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62); Dan (Dialah) yang menyatupadukan antara hati mereka (yang beriman itu). Sekalipun kamu membelanjakan segala (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu masih tidak dapat mempersatukan antara hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah al-Anfal: 61-63)
Pengaruh konsep perpaduan umat yang diperkenalkan oleh Islam berjaya menarik perhatian masyarakat yang tertindas di seluruh pelosok dunia, termasuk di negara besar pada zamannya. Sehingga Islam itu dianggap bahaya oleh pihak berkuasa yang zalim, kerana akhlak penganutnya dan adil pemerintahnya bukan kerana senjata dan ganasnya.
Adapun kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam pada zaman mutakhir disebabkan tidak beramal dengan petunjuk al-Quran. Sehingga umat Islam sendiri berpecah belah dan tidak boleh membawa mesej Islam yang diwajibkan ke atas mereka.
Allah SWT memberikan amaran terhadap ayat-ayat yang berulang dalam al-Quran, antaranya firman Allah:
﴿وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٥﴾
“Dan janganlah kalian menyerupai orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian itu akan beroleh azab seksa yang berat (seksa dunia dan akhirat).” (Surah Ali ‘Imran: 105)
Contoh terburuk daripada umat zaman dahulu yang berpecah belah, apabila mereka meninggalkan petunjuk Allah SWT daripada kitab suci yang diwahyukan kepada para Rasul pada zaman masing-masing.
Firman Allah SWT:
﴿وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ٤﴾
“Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang nyata.” (Surah al-Bayyinah: 4)
Perpecahan berlaku oleh kalangan mereka yang menolak kebenaran untuk mengikuti Kitab Allah dalam keadaan berilmu, lalu menjadikan mereka sebagai golongan yang paling dimurkai Allah SWT. Termasuklah kalangan yang jahil dan sesat dalam kejahilannya juga menolak kebenaran daripada Kitab Allah.
Perpecahan yang berlaku menyebabkan kelemahan umat sehingga menghilangkan kuasa politik mereka, setelah tanah air mereka dirampas dan dijajah oleh musuh akibat tidak ditangani dengan penuh kesabaran. Firman Allah SWT:
﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٤٦﴾
“Dan taatilah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kalian saling berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kalian menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kalian, dan sabarlah (dalam menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)
Apabila berlarutan perpecahan, akhirnya tanah air dan rakyat pula dijajah. Kemudian, diterapkan lagi polisi pecah dan perintah oleh penjajah (divide and rule policy) atau lebih dikenali berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘divide et impera or divide and conquer’ yang menyebabkan tanah air dan rakyat hilang jati diri dan kuasa politik, ekonomi dan pendidikan.
Kini, kita sudah merdeka daripada penjajah asing, tetapi masih dijajah fikirannya. Janganlah sekali lagi kita mengulangi kesilapan yang lalu.
Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran tersebut berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. Kami menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.
Pada masa yang sama, PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam. Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.
Allah SWT berfirman:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Oleh yang demikian, Allah memerintahkan kalian supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Syawwal 1443 / 12 Mei 2022
Ulasan