Kebenaran Itu Daripada Allah


 Kebenaran ialah suatu perkara yang dicari oleh setiap orang yang berakal dan ia diperjuangkan oleh semua kumpulan. Terdapat kumpulan agama yang berdakwah kepada agama semata-mata tanpa mempedulikan urusan dunia, kumpulan ekonomi yang bekerja, kumpulan sosial yang beramal, dan juga kumpulan ilmuwan yang berfikir dan mengkaji. Termasuklah kumpulan jahil yang mengada-adakan apa sahaja. 

Semua pihak masing-masing mendabik dada bahawa kebenaran itu bersama pihak mereka. Kumpulan atau pihak tersebut sama ada atas nama agama atau ideologi mahupun teori atau pendekatan sebagai penyelesaian dalam semua perkara secara berasingan dan terpisah. Masalahnya, di manakah terletak asas kebenaran itu?

Al-Quran menegaskan jawapan terhadap persoalan tersebut melalui firman Allah SWT:

﴿ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ١٤٧﴾ 

“Kebenaran itu (wahai Muhammad), adalah daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.” (Surah al-Baqarah: 147)

Allah yang Maha Esa merupakan Pencipta alam yang wajib bersifat dengan sifat Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana, serta Maha Penyayang kepada seluruh makhluk-Nya, termasuk manusia yang bertugas di alam dunia dan buat seluruh alam. Maha Benar juga merupakan salah satu daripada nama-Nya yang mulia dan sifat-Nya yang terpuji.

Inilah keyakinan setiap orang yang beriman kepada Allah SWT dan percaya kepada Rasul-Nya yang dilantik. Keyakinan dan kepercayaan yang mengatasi segala pandangan manusia, termasuk pandangan para ahli falsafah dan ilmuwan yang berlawanan dengan ketetapan Allah SWT dalam segala urusan dan aspek. 

Walaupun mereka berakal sihat dan berilmu, namun mereka tetap bersifat dengan sifat yang menjadi kelemahan makhluk. Lebih-lebih lagi, ditolak pandangan yang menyampah akibat tidak mempunyai akal yang sihat kerana berpandukan perasaan dan sangat jahil tanpa ilmu dan kajian. Namun, golongan tersebut ditaja oleh media murahan dan upahan. 

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨﴾ 

“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi tiap-tiap umat antara kalian, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat (aturan) dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh semua). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kalian satu umat, tetapi Dia hendak menguji kalian terhadap pemberian-Nya kepada kalian. Oleh itu, berlumba-lumbalah kalian dalam membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jua kalian semuanya kembali, lalu Dia khabarkan kepada kalian akan apa yang kalian perselisihkan itu.” (Surah al-Ma’idah: 48)

Selain itu, Allah SWT juga menegaskan melalui firman-Nya bahawa kebenaran daripada-Nya itu disampaikan oleh Rasulullah SAW yang menjadi pilihan-Nya:

﴿هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾

“Dialah Tuhan yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), agar Dia memenangkannya atas segala yang lain; meskipun orang Musyrik (berbagai-bagai fahaman) membencinya.” (Surah al-Saff: 9)

Kebenaran Islam itu dimenangkan dengan hujah dan melalui pelaksanaannya secara realiti, dengan berkuasa tanpa dihalang dan diganggu.

Kebenaran daripada Allah SWT itu dibuktikan di atas dunia dari segi dalil, hujah dan pelaksanaan ketika Islam berkuasa dan berdaulat. Seterusnya, dibuktikan penerimaannya pada Hari Akhirat nanti. 

Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ٨٦ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ٨٧﴾ 

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada para nabi seperti Ibrahim, lsma‘il, dan Ishaq,  Ya‘qub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan ‘Isa, dan sekalian nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun antara mereka, dan kepada Allah jua kami berserah diri (Islam).’ (84); Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam (agama, teori dan ideologi), maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya, dan dirinya pada Hari Akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85); Bagaimana Allah akan memberikan petunjuk kepada suatu kaum yang kufur (menolak Islam) sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata? Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk-Nya kepada golongan yang zalim. (86); Mereka itu balasannya ialah bahawasanya mereka ditimpakan laknat Allah, malaikat-Nya dan sekalian manusia (beriman) seluruhnya. (87)” (Surah Ali ‘Imran: 84-87)

Para Rasul menganut Islam (kebenaran daripada Allah SWT), sementelah itu kedatangan Rasul terakhir Nabi Muhammad SAW telah disebutkan dalam kitab suci semua agama.

Di alam dunia, Allah SWT membuktikan berlakunya kerosakan hidup manusia dan alam sekelilingnya apabila mereka menolak kebenaran daripada-Nya (Islam). Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾ 

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Adapun penentuan di akhirat kelak itu dijanjikan oleh Allah SWT dalam ayat-ayat yang banyak, antaranya disebutkan oleh firman-Nya:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ١١٦﴾ 

“Maka, adakah patut kalian menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kalian (daripada tiada kepada ada) secara main-main sahaja (tanpa sebarang hikmah pada ciptaan itu)? Dan kalian (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?’(115); Maka, (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah, Tuhan yang menjadi Raja (pemerintah sebenarnya); tiada Tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang mempunyai ‘Arasy yang mulia. (116)” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Begitu juga firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾ 

“(Ingatlah) pada hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) walau sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dirinya juga buta di akhirat bahkan lebih sesat lagi dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Allah SWT tidak memaksa manusia yang berakal untuk membuat pilihan, namun terserah kepada mereka sendiri dengan berpandukan dalil akal, kajian, pengalaman dan diberikan hidayah (petunjuk) kepada yang benar-benar mencari kebenaran. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا٢٩ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ مَنۡ أَحۡسَنَ عَمَلًا٣٠﴾ 

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhan kalian, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.’ Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberikan pertolongan dengan air seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (29); Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. (30)” (Surah al-Kahfi: 29-30)

Ayat di atas menyatakan hukuman terhadap kalangan mereka yang menolak kebenaran daripada Allah SWT kerana merosakkan dunia. Pada masa yang sama, ganjaran kepada mereka yang menegakkan kebenaran daripada Allah SWT kerana membawa kebaikan kepada semua. 

Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW supaya mentadbir dan memerintah dengan kebenaran yang telah dinyatakan-Nya dalam al-Quran sebagaimana yang diwahyukan kepada Baginda. Seterusnya, ia menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾ 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa: 105)

Rasulullah SAW bersama generasi awal para sahabat RA mendapat kemenangan dengan diberikan kekuasaan yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

﴿...وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾ 

“...Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40); Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta mereka menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang munkar. Dan (ingatlah) kepada Allah jua dikembalikan segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40-41)

Negara yang ditadbir oleh Baginda SAW itu bercirikan kepimpinan rabbani (bersolat), menegakkan ekonomi yang adil (konsep zakat), berkebajikan (amar ma‘ruf), kehebatan undang-undang yang mendidik (nahi munkar) dan berwawasan akhirat.

Rasulullah SAW menegaskan kepada para sahabat dan seluruh umatnya akan firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾ 

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Oleh yang demikian, Allah memerintahkan kalian supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-Ma’idah: 153)

Selanjutnya, Rasulullah SAW melakarkan garis yang lurus di atas tanah dan melakarkan cabang-cabang yang banyak, lalu Baginda bersabda:

هَذِهِ السُّبُلُ لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ. 

“Jalan Allah hanyalah jalan yang lurus ini. Adapun cabang-cabang jalan ini semuanya jalan yang sesat, dan pada setiap cabang itu terdapat syaitan yang menggoda.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld. 3, ms. 328)

Kita menyaksikan bagaimana syaitan Ahli Kitab yang paling dimurkai Allah SWT mencipta ideologi seperti Karl Marx, Adam Smith, dan lain-lain telah menghasilkan falsafah ciptaan akal sendiri. Bahkan, syaitan yang tidak beragama juga sangat menyesatkan. 

Semua ideologi disebarkan dengan mendakwa masing-masing membawa kebenaran, khususnya melalui media langit terbuka tanpa sempadan. Setiap daripada fahaman tersebut mempunyai kumpulan yang menganut serta berjuang untuk menyebarkan dan menegakkannya, sehingga mendapat kuasa yang akhirnya merosakkan manusia.

Justeru, di sinilah kita mengetahui mengapa setiap penganut Islam itu diwajibkan berdoa dalam setiap rakaat solat sebagaimana firman Allah SWT:

 ﴿ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾ 

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)” (Surah al-Fatihah: 6-7)

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa mencari kebenaran itu sangat mencabar dan banyak gangguannya dalam perjalanan hidup manusia di alam dunia. Akan tetapi, mereka yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran bersama Islam dan menegakkannya, dijanjikan jalan-jalan yang menyampaikannya kepada kebenaran dengan pertolongan Allah SWT. Perkara tersebut disebutkan melalui firman-Nya:

﴿وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٦٩﴾ 

“Dan orang-orang yang berjihad dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredaan) Kami, sesungguhnya Kami benar-benar akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-‘Ankabut: 69)

Dalam pada itu, terdapat kalangan mereka yang paling dimurkai Allah SWT, sekalipun mempunyai ilmu. Hal ini disebabkan mereka itu bersifat takabbur dan fanatik. Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦﴾ 

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, padahal mereka mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 146)

Pada zaman kini, mereka dikenali sebagai kelompok orientalis kerana mengkaji Islam secara ilmu tanpa memperoleh hidayah. Malangnya, terdapat kalangan orang yang mengaku Islam menjadikannya sebagai rujukan yang dipercayai kerana berbangga dengan pihak penjajah dan bahasanya. 

Maka, hilang jati dirinya kerana meninggalkan al-Quran dan bahasa al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ضَرَبۡنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٖ لَّعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ٢٧ قُرۡءَانًا عَرَبِيًّا غَيۡرَ ذِي عِوَجٖ لَّعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ٢٨﴾ 

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia dalam al-Quran ini berbagai-bagai perumpamaan, supaya mereka mengambil peringatan (pelajaran). (27); (Iaitu) al-Quran dalam bahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa. (28)” (Surah al-Zumar: 27-28)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ جَعَلۡنَٰهُ قُرۡءَانًا أَعۡجَمِيّٗا لَّقَالُواْ لَوۡلَا فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥٓۖ ءَا۬عۡجَمِيّٞ وَعَرَبِيّٞۗ قُلۡ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ هُدٗى وَشِفَآءٞۚ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ فِيٓ ءَاذَانِهِمۡ وَقۡرٞ وَهُوَ عَلَيۡهِمۡ عَمًىۚ أُوْلَٰٓئِكَ يُنَادَوۡنَ مِن مَّكَانِۢ بَعِيدٖ٤٤﴾ 

“Dan jikalau Kami menjadikan al-Quran itu (suatu bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata, ‘Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu dalam bahasa ‘ajam (asing), sedangkan Rasul yang membawanya berbangsa Arab?’ Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Al-Quran itu ialah petunjuk dan penawar bagi orang-orang Mukmin; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman (al-Quran itu) menjadi sebagai suatu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar), sedangkan al-Quran itu suatu kegelapan yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu ialah orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh.” (Surah Fussilat: 44)

Banyak perkataan dalam bahasa al-Quran yang tidak memenuhi maksudnya yang sebenar, jika ia diterjemahkan dalam semua bahasa yang lain. 


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS  

Bertarikh: 5 Syawwal 1443 / 6 Mei 2022

Ulasan