Pendirian Dewan Ulamak Terhadap Cadangan Membubarkan PAS


Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil maklum berkenaan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, YB Datuk Seri Hj Ahmad Maslan yang mencadangkan PAS dibubarkan kerana UMNO turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan partinya pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

2. Dewan Ulamak PAS  Pusat ingin menzahirkan rasa syukur dengan perubahaan yang telah dibuat pada 2019, kerana peruntukan Fasal 3.1 Perlembagaan UMNO tersebut adalah selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubunnya pada tahun 1951. Dewan Ulamak PAS Pusat bersedia untuk membantu UMNO bagi memastikan perubahan yang dibuat bukan sekadar di atas kertas sahaja dan UMNO benar-benar jujur untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS.

3. Dewan Ulamak PAS Pusat juga ingin memaklumkan bahawa, PAS bukanlah semata-mata sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan Islam dari aspek Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan sahaja, tetapi PAS memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

4. Dewan Ulamak PAS ingin menegaskan bahawa, PAS menjadikan Islam dan sumber-sumber hukumnya sebagai dasar dan panduan berpolitik dan berorganisasi sebagaimana dituntut oleh kehendak Perlembagaan PAS di dalam Fasal 3 (Dasa), Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan). Bahkan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli PAS untuk taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS sebagaimana dituntut oleh Fasal 85(1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2020). 

5. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian bahawa, cadangan supaya PAS dibubarkan adalah tidak releven kerana Fasal 3, 5, 6 dan 7 Perlembagaan PAS (Pindaan 2020) terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Fasal 3.1 Perlembagaan UMNO.


YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHYA

KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

11 Syawal 1443H bersamaan 12 Mei 2022M

Ulasan