SELAMAT HARI GURU!
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Puluhan mesej semenjak dinihari lagi menebar kasih sayang dan menyubur ukhuwwah, ucapan selamat hari guru dan ucapan terimakasih kerana pernah mendidik dan kekal untuk mendidik.
Grup wassap adik beradik , menjalar kepada mantan anak-anak didikku dan pelbagai kumpulan ukhuwwah wassap menggelegak dengan mesej penghargaan buat yang menggalang jawatan guru. Tak terbayang hidup ini tanpa manusia yang bernama GURU, sebanjaran jasa meneduhkan citra manusiawi. Sang guru sehingga diteduhkan dibawah pepohonan kemboja dikuburan tetap dipanggil gelaran " guru...cikgu..ustaz".
“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.
"Selamat hari guru Ustaz wan, terimakasih kerana mendidik kami tanpa jemu"
Inilah puluhan mesej yang saya terima pada pagi hari ini dan mungkin ratusan untuk hari ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Cuma sambutan hari guru dalam kemeriahan Syawal yang menggebu tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja.
Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit dada, menjadikan hati menjadi basah dan menjalar kegebuan rindu menjadi pendidik. Sporadik mesej-mesej ucapan yang diterima menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik secara formal selama belasan tahun di Lembah Kelang ini. Berhenti menjadi pendidik secara formal, juga aku tersadung dibidang pendidikan untuk mencerahkan anak bangsa. Bidang ini adalah ruang besar menuai pahala dialam abadi walaupun renyah dan berlapis masalah di dalamnya.
Bidang keguruan dan pendidikan amat dekad di hati figura perjuangan Islam. Lihatlah bingkai kehidupan tokoh-tokoh haraki seperti Hasan al Banna, Sheikh Ahmad Yasin, Said Ramadhan, Pak Natsir, HAMKA, Khalid Mas’al, Saed Siyyam, Said Hawwa, Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin, Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan ribuan tokoh serta aktivis Islam ialah para guru yang mendidik dan membina manusia. Mereka semua melepaskan jawatan pendidik secara formal demi dakwah dan perjuangan Islam.
Pagi ini seperti berlari di terowong masa, mengimbas kenangan dan menghirup pengalaman dibidang keguruan yang pernah digeluti. “Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah pada penghujung tahun 2008 dahulu.
Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah, pimpinan Dewan Pemuda PAS dipelbagai peringkat.
Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan P n P alam maya, buku rekod, papan putih, kursus dalaman, folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang. Kerjaya yang tak lumayan wang ringgit sebagai pulangan namun akan terus menyemai pahala berpanjangan.
Aku diserbu kenangan yang menggamit perasaan yang bercampur, malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik dan bidang keguruan.
Ya, sebagai seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotomi hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah. Ada kesilapan yang membekas dan memberikan pengajaran jangka panjang.
*1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga*
“Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “kamu degil, kepala batu, ini semua sebab kamu gemar makan bab#” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi. Meloncat keluar tanpa belas kasihan, hilang rasa manusiawi!. Remaja itu melakukan kesilapan yang tak perlu ditulis di sini, sangat menjengkelkan.
Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil tu. Diam tak berkutik, memeluk lutut dibawah meja sempit dengan tempoh masa tertentu. Tujuannya meredam ego pelajar-pelajar kail panjang sejengkal yang berselimut dengan watak " young and dangerous".
Sekolah premier dengan bangunan agam zaman kolonial yang juga bekas markas tentera Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.
Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan kerasku diringi hayunan kaki dan tangan.
Aku pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.
Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas serta tajam menikam sukma, selekeh ala gaya bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung, Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.
Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah.Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.
Goh hidup tanpa bertuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya, seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu malam mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.
Pada suatu hari, Goh menapak ke Surau sekolah, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan. Surau itu sebenarnya ‘pot’ aku tempat melepas lelah setelah penat dengan aktiviti politik diluar sekolah, berlanglang buana ke seluruh negara untuk meruntuhkan hegemoni daulah. Menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta penceramah.
Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Aku menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi–mimpi rusuh aktivis politik oposisi.
Aku dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah di sini. Rutin kami dihujung waktu jika aku tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk di hujung pintu surau. Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mataku mematai Goh sejak awal, tidak terlepas memandang sosok tubuh Goh, sesekali dia menguap kemalasan. Hatiku jengkel bercampur segudang rasa simpati.
“Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?” kata Goh bergetar. Aku merenung jauh kedalam mata sepet goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.
“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.
Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah, pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.
Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Sepantas mungkin ingin menjauh dan menjarakkan diri. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun, jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.
“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi, anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.
Dia seorang guru muda guru penyokong tegar reformasi, setia di jalanan ibu kota di setiap hujung minggu. Sudah kalih dihambat aparat keamanan bertopi merah di Jalan Tunku Abdul rahman.
“Tak, budak itu, mengembek macam kambing kat hujung kelas, nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali dan sesekali dia perlu diajar" jawabku malas.
Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.
Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.
*GOH menjelma kembali*
Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahiku kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta berkilat rapi, bergengsi dan pakaian yang kemas, anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabarku pada guru yang lain, jika melawat sekolah.
Aku merasa terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh. Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.
Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahan dan latar sosio ekonomi mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.
Hari ini setelah lebih dua dekad, aku sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajarku erti menjadi guru yang sepatutnya, guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.
Masa tak dapat diundurkan!, kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak muridku di kelas PERKIM setiap Ahad, aku akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, namun sayang sekali kerana aku melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.
Tololnya aku pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.
“Selamat Hari Guru” kepada semua teman- teman pendidik, kaum keluarga besarku yang masih berstatus pendidik dan mantan anak-anak didikku. Terima kasih kerana menjadikan dunia ini berpelangi indah, menguntum senyuman paling indah dalam membina generasi. Jangan serik dan merasa lelah untuk terus mencerahkan dunia ini dengan ilmu, profesi yang paling selamat daripada rasuah. Sekali menjadi guru maka kita akan terus menjadi sang guru yang mendidik selamanya!
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Ulasan