Beri Peluang Semua Pihak Selesai Masalah Sampah

Usaha membersihkan sampah dan menjaga alam sekitar perlu kepada sokongan semua pihak

KUALA TERENGGANU - PAS sebagai parti yang mentadbir negeri ini memohon orang ramai memberi peluang kepada pihak yang berkaitan, menyelesaikan sampah yang sedang di ‘gembar-gemburkan’ masa kini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Hishamuddin Abd. Karim berkata, masalah tersebut yang berlaku baru-baru ini, belum pulih sepenuhnya.

“ada lagi di beberapa lokasi sebenarnya melibatkan kontraktor dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai pihak yang bertanggungjawab memantau kontraktor.

“Pun begitu, kita tetap memberi ruang kepada semua pihak untuk memulihkan kembali dan membantu apa yang perlu agar kesan tempias yang menimpa penduduk tidak berlarutan.” ujarnya ketika dihubugi.

Katanya, tumpuan pada masa sekarang adalah berusaha untuk mengurangkan bebanan yang dilalui penduduk.

“Fokus MBKT hendaklah mencari jalan keluar seberapa segera mungkin untuk diselesaikan.” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Tepoh berkata,  ada pelbagai perkara yang berbangkit dalam isu terbabit yang perlu diperhalusi dengan menyeluruh dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.

“Mencari salah dan silap, satu perkara mudah. Sukarnya adalah mencari penyelesaian. Kami usaha menumpukan kepada penyelesaian. Tapi dalam ruang lingkup sebagai ahli legislatif,

“Bukannya sebagai pegawai pelaksana. Bukan sebagai kakitangan PBT. Bukan juga sebagai kontraktor.

“Ia sebagai tanggungjawab pemimpin tempatan. Malah YAB Dato’ Seri Menteri Besar sendiri turut sama campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian yang berlaku.” Jelasnya.

Ulasan