Media berperanan besar dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat, sama ada bagi menegakkan kebenaran atau menyebarkan pembohongan, kebatilan dan kesesatan. Termasuklah juga menganjurkan aktiviti kebajikan atau maksiat, sehingga membela penjenayah.
Hal ini menjadikan mereka yang terlibat dengan perbuatan yang salah itu dalam dilema, sama ada untuk memilih ganjaran pahala yang besar atau balasan dosa yang besar. Malah, mereka juga dilema dalam menerima upah yang lumayan, sama ada ia menjadi harta halal yang membawa berkat atau harta haram yang menjadi laknat, bagi diri dan keluarganya.
Dilema merupakan suatu keadaan yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk memilih antara dua al¬ternatif. Pertama, menepuk dada tanya selera masing-masing bagi mendapat keuntungan sementara, waktu dalam kehidupan dunia hanyalah sebentar sahaja jika dibandingkan dalam kuburnya lebih panjang masanya dan hidup di alam akhirat buat selama-lamanya. Andai tersilap langkah, maka menempah kecelakaan di dunia dan menghuni neraka di akhirat.
Kedua, menepuk dada tanya iman masing-masing, untuk memilih kebahagiaan dunia dan akhirat serta menanti janji benar daripada Allah SWT. Hidupnya beroleh keberkatan kerana mendapat rahmat Allah SWT, matinya pula selamat sehingga menemui Hari Kiamat.
Allah SWT memerintahkan orang yang beriman supaya berhati-hati dalam menerima maklumat yang disampaikan kepada mereka. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya); sehingga menjadikan kalian menyesali apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Allah SWT menjenamakan kalangan mereka yang menyebarkan berita yang menyesatkan atau sebarang berita palsu mahupun bohong sebagai golongan fasiq. Termasuklah juga mereka yang menularkan berita benar, namun membawa kepada fitnah yang zalim terhadap seseorang yang belum ditentukan bersalah oleh pihak yang menjatuhkan hukuman.
Hal ini demikian kerana, Islam meletakkan seseorang yang dituduh itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bahawa dirinya benar-benar bersalah (innocent until proven guilty). Bahkan, digalakkan memberikan nasihat dan dianjurkan bertaubat kepada golongan tersebut tanpa didedahkan kesalahannya kepada khalayak umum kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
Islam menetapkan hukuman dunia adalah berdasarkan tindakan undang-undang yang adil ataupun hukuman akhirat yang lebih berat sekiranya seseorang itu tidak bertaubat. Jika mereka dihukum di alam dunia dengan hukuman yang adil, maka kelak mereka akan dibebaskan pada Hari Akhirat. Sebaliknya, seandainya tidak dihukum di dunia, nescaya dirinya tidak akan terlepas balasannya pada Hari Akhirat jika tidak bertaubat.
Allah SWT menggalakkan seseorang itu agar bertaubat dengan tidak menyebarkan dosa yang dilakukan oleh pelakunya. Bahkan, adalah berdosa besar sesiapa yang menyebarkan kesalahan orang lain dengan tujuan menyebarkan berita keaiban, bukan bertujuan mencegah kemungkaran dan membantu badan kehakiman menjadi saksi yang adil.
Rasulullah SAW menggalakkan supaya kesalahan seseorang itu ditutup kepada umum. Adapun dirinya pula wajib berlaku benar dan berterus terang apabila dibawa ke dalam mahkamah. Hal ini dinyatakan oleh sabdanya:
ومَن سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ القِيامَةِ.
“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya.” (Riwayat al-Bukhari 2442, Muslim 2580 dan lain-lain)
Begitu juga sabda Baginda SAW:
أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ.
“Ingatlah! Jangan bercakap bohong! Jangan menjadi saksi yang bohong.” (Riwayat al-Bukhari 5976 dan Muslim 87)
Hal ini menunjukkan seseorang yang menjadi saksi yang bohong adalah berdosa besar. Dalam pada itu, mereka yang menyebarkan berita kesalahan juga berdosa besar kerana ia bertujuan menimbulkan provokasi bukan untuk mencegah kemungkaran.
Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ١٩﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) tentang perbuatan yang buruk itu tersebar dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kalian tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)
Termasuk dalam perkara dosa juga ialah perbuatan menyebarkan kemungkaran maksiat yang dilakukan dengan tujuan menggalakkannya, bukannya untuk mencegah. Perkara tersebut sama ada tersebar secara berita mahupun melalui iklan.
Tindakan menyiarkan berita provokasi akan mengganggu pihak keselamatan dan keamanan atau badan kehakiman yang bertindak sebagai penyiasat. Keadaan sedemikian adalah semata-mata bagi membela kejahatan dan jenayah atas nama undang-undang berprinsipkan kebebasan yang salah dan bersikap melampaui batas kerana terpengaruh dengan kebebasan media Barat yang liberal.
Adapun, apabila sesuatu kesalahan itu dilaporkan kepada pihak yang berkenaan bagi mencegah kemungkaran atau dengan tujuan menjadi saksi yang adil, maka wajib baginya menyatakan yang perkara benar-benar berlaku terhadap sesiapa sahaja. Perkara ini disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا١٣٥﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kalian sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kalian terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kalian bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kalian turutkan hawa nafsu supaya kalian, agar kalian tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kalian memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Nisa’: 135)
Islam menetapkan hukuman hudud terhadap sesiapa yang menuduh seseorang itu melakukan perbuatan zina tanpa cukup empat saksi. Sehinggakan, dijatuhkan hukuman 80 kali sebatan terhadap penyebar tuduhan tersebut. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَٰنِينَ جَلۡدَةٗ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَهَٰدَةً أَبَدٗاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٤﴾
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kalian menerima kesaksian mereka itu buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 4)
Oleh itu, tidak diizinkan mana-mana pihak sekadar melaporkan berita kepada umum, bukan dengan tujuan melaporkan kepada pihak berkenaan bagi mencegah kemungkaran dan diadili mengikut proses perundangan yang teliti. Islam menetapkan dosa fitnah terhadap penyebar sesuatu berita, sekalipun berita yang disebarkan itu benar kerana tidak dapat mengemukakan saksi kepada badan kehakiman.
Justeru, wajibnya ada undang-undang yang mengawal media supaya bersopan, bukan bebas tanpa sempadan. Islam berbeza dalam mentakrifkan erti kebebasan mengikut sempadan agama dan akhlak.
Maka, melampaui batas agama dan akhlak ertinya terbabas yang membawa kepada kemusnahan berbagai-bagai pihak, sehingga menjadi penyakit diri dan masyarakat yang tidak terkawal lagi. Perkara inilah yang berlaku terhadap kaum yang ditimpakan bencana pada zaman dahulu dan kini dialami oleh penganut liberalisme sebelum ditimpa bala bencana sebagai hukuman daripada Allah SWT.
Allah SWT memberikan suatu peringatan melalui firman-Nya:
﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-ruah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96-99)
Media akan bersikap melampau apabila tidak mempunyai sifat taqwa. Hal sedemikian berlaku apabila tersebarnya kemungkaran aqidah, syariat dan akhlak dalam masyarakat.
Rasulullah SAW menceritakan peristiwa alam barzakh (selepas mati) orang yang disangkut pipinya menembusi ke belakang lehernya, disangkut hidung dan telinganya sehingga ke belakang. Keadaan tersebut adalah disebabkan oleh dosa menyebarkan berita ke seluruh ufuk dunia sejak pagi sehingga malam. Peristiwa yang dilalui oleh Baginda SAW itu menunjukkan mukjizat ilmu yang diberikan kepada Baginda telah mendahului zaman teknologi maklumat di hujung jari tanpa sempadan hari ini.
Maka, pengajaran ini menjadi peringatan kepada mereka yang beriman yang boleh menerimanya kerana percaya kepada janji dan amaran Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Pada masa yang sama, tidak terpengaruh kepada godaan syaitan apabila beramal di alam dunia ini, khususnya dalam lapangan media yang paling mudah dilakukan sama ada untuk tujuan kebenaran dan kebajikan ataupun kebatilan dan dosa.
Allah SWT mendedahkan kalangan yang melaporkan apa sahaja berita itu sebenarnya dipengaruhi oleh syaitan yang merugikan, melainkan golongan yang beriman dan berjuang untuk menegakkan kebenaran. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
﴿هَلۡ أُنَبِّئُكُمۡ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَٰطِينُ٢٢١ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٖ٢٢٢ يُلۡقُونَ ٱلسَّمۡعَ وَأَكۡثَرُهُمۡ كَٰذِبُونَ٢٢٣ وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلۡغَاوُۥنَ٢٢٤ أَلَمۡ تَرَ أَنَّهُمۡ فِي كُلِّ وَادٖ يَهِيمُونَ٢٢٥ وَأَنَّهُمۡ يَقُولُونَ مَا لَا يَفۡعَلُونَ٢٢٦ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَذَكَرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا وَٱنتَصَرُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا ظُلِمُواْۗ وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ٢٢٧﴾
“Apakah kalian mahu jika Aku khabarkan kepada kalian, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? (221); Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa. (222); Mereka sentiasa mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan dalam kalangan mereka pendusta. (223); Dan penyair-penyair itu dituruti oleh golongan yang sesat. (224); Tidakkah kamu melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tanpa tentu hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? (225); Dan bahawa sesungguhnya mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? (226); Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (daripada kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah sebanyak-banyaknya, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiayai. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali. (227)” (Surah al-Syu‘ara’: 221-227)
Penyair ialah media pada zaman jahiliah dahulu kala yang diambil peranannya oleh pengamal media pada zaman kini. Para penyair pada zaman dahulu mendapat hadiah yang paling lumayan daripada para pemimpin yang zalim atau bangsawan jahat yang disanjung. Kini, para media pula diberikan bayaran yang mahal kerana peranan jahat yang dimainkannya. Percayalah bahawa syaitan yang berada di belakang mereka tidak mampu menolong sedikit pun di hadapan Mahkamah Allah kelak.
Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢٢ وَأُدۡخِلَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡۖ تَحِيَّتُهُمۡ فِيهَا سَلَٰمٌ٢٣﴾
“Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu (hisab): ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kalian dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kalian; lalu aku memungkiri janjiku itu kepada kalian; dan sekali-kali tiadalah kekuasaan bagiku terhadap kalian, melainkan (sekadar) aku menyeru kalian lalu kalian terburu-buru menuruti ajakanku itu; maka janganlah kalian menyalahkanku tetapi salahkan diri kalian sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menyelamatkan kalian dan kalian juga tidak dapat menyelamatkanku. Sesungguhnya daripada dahulu lagi aku telah kufur (mengingkari perintah Tuhan) yang kalian sekutukan diriku dengan-Nya.’ Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (22); Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (daripada malaikat) di dalam syurga-syurga itu. (23)” (Surah Ibrahim: 22-23)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Zulqa‘dah 1443 / 2 Jun 2022
Ulasan