Dr Mursi: Tugu Dan Arca Kezaliman Rejim Kudeta


Oeh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Jeriji penjara Mesir juga memenjarakan Nabi Yusuf

Sepanjang zaman jeriji Mesir menagih korban

Kamal Saniri, Sayyid Qutb, Fattah Ismail, Yusuf Talaat.

Tembok batu menjadi saksi bisu

Pahlawan agama ini disakiti dan diaibkan semahunya.


Mursi, teknokrat, ilmuan dan hafiz

Sang pemimpin yang genius dan berani

Direntap kekuasaan oleh kudeta 

Hak sebagai banduan juga tak tersisa.


Segudang fitnah regim tak pernah dibuktikan 

Mahkamah kangaroo yang membodohkan massa

Sang pejuang akhirnya rebah kesakitan di ruang bicara

Moga kematianmu menamatkan derita sementara

Berehat di Firdausi yang kekal selamanya.


Genap tiga tahun pemergian ke alam abadi di Penjara Tora Farm, Dr Muhamad Morsi sang Presiden yang digulingkan secara paksa oleh kudeta tentera dan pakatan Ahzab moden. Ribuan syahid dimamah timah panas dan bergeletak dijalanan dan bakinya dihumban ke penjara-penjara seluruh Mesir. Mesir tak pernah diam daripada memicu perhatian masyarakat antarabangsa, pernah menjadi kiblat politik umat Islam serta kilang perkaderan dakwah.

Ardhul Kinanah tak pernah gagal menyaksikan kezaliman demi kezaliman terhadap pejuang Islam, hembusan angin Sahara sekali lagi membawa khabar duka bumi Mesir. 

Komplot regim kudeta dengan tangan ghaib zionis telah memberangus harkat manusiawi tanpa sepicing rasa malu mereka kepada dunia bertamadun yang menyaksikan sistem keadilan Mesir tak ubah kandang kangaroo. Dr Mursi, Dr Muhamad Badie', Sheikh Mehdi Akif dan seratus orang yang lain  dikenakan hukuman gantung oleh Mahkamah , berulang naik ke mahkamah , mendekam dipenjara , berselimut kezaliman. Seterusnya ada yang mati ditiang gantungan,ada yang mati sakit dalam tahanan seperti Dr Muhammad Morsi.

Dunia zaman edan ini makin menggila , malah membutakan kebenaran. Jerkahlah sekuatnya kepada regim tolol Fatah as Sisi , namun mereka tetap tak peduli , seolah tuli dan tanpa nurani serta memperalatkan kelompok agamawan rasmi untuk menjustifikasikan kezaliman mereka.kebenaran adalah lilin yang semakin mencair dengan api kezaliman, orang awam menjadi keliru melihat justifikasi agama untuk menghalalkan kebejatan dan kebobrokan.

Isu mesir yang berdarah, berkubang air mata, pembantaian sekaligus merupakan menifestasi ahzab moden yang menunjukkan wajahnya yang hodoh dan pongah.Gejolak isu mesir rasanya begitu hampir dengan nurani umat islam di negara ini,paling kurang dalam tempoh semenjak satu abad yang lampau.

Pengaruh mesir begitu membumi dan mempunyai keunikannya yang tersendiri terhadap rakyat negara ini,apatah lagi dengan sebahagian cendekiawan islam ini mencicip ilmu di kota seribu menara itu.

Gelombang kebangkitan rakyat Mesir turut menyentuh perkembangan politik rakyat negara ini lebih seabad lampau, seawal abad ke 20,Mesir begitu sekali dekat dengan rakyat negara ini.Pelajar-pelajar Melayu yang pintar meraih ilmu di dada bumi ambia' ini.Kepulangan mereka telah melakarkan landskap sosio politik bernuansa islami. 

Semenjak sebelum merdeka simbahan semangat pan islamism yang digalang tokoh -tokoh pemikir seperti Syeikh Mohd Abduh,Syeikh Jamaluddin Al Afghani. Syeikh Rashid Ridha turut menyentak perasaan orang Melayu yang terlalai dengan penjajahan barat, sekaligus mundur terpuruk segalanya.

Mesir juga menjadi tempat bermuara ilmu pelajar -pelajar Malaysia dan sebahagiannya muncul sebagai tokoh -tokoh agama di negara ini.Mereka mencetak sejarah watan,Syed Syeikh Al Hadi,Syeikh Tahir Jalaluddin,Dr Zulkifli Mohamad,Dato Yusof Zaki Yaakob dan ribuan tokoh cemerlang yang lain. 

Mesir bukan sekadar diingati kerana firaun dan piramidnya,Haman dan kebejatannya tetapi kerana getirnya Hassan Al Banna berjuang mencerdaskan ummat islam. Maestro dakwah yang fenomenal serta memercikkan haruman dan kesejahteraan Islam keseluruh dunia Islam moden.

Pembantaian dan kejerihan yang dialami oleh Ikhwanul Muslimin semenjak penubuhannya pada tahun 1928 di Ismailiah,Mesir. 

Gerakan Islam kontemporari ini terus menjadi model kepada gerakan islam yang lain, malah perkembangannya sentiasa diintai dan dirasakan kehadiran. Ikhwanul Muslimin telah menyumbang kepada peradaban dunia islam abad moden dengan ratusan pemikir dan ideoluguenya terus mengalirkan kristal -kristal indah pemikiran dan kitab -kitab amal  islami pelbagai tajuk.   

Maka tidak pelik apabila berlakunya revolusi 2011, rakyat negara ini turut sama berkongsi kepedihan melihat kezaliman yang ditimpakan terhadap rakyat Mesir. Revolusi telah mengubah landskap politik negara yang puluhan tahun secara sistematik memperbodohkan rakyat dan mengekang hak demokratik. 

Perubahan politik baru Mesir pasca revolusi aman Januari 2011 juga telah memungkinkan Ikhwanul Muslimin menyerlahkan tampang mereka yang sebenarnya. FJP dan Dr.Mursi akhirnya membawa aspirasi baru rakyat dan Mesir dalam tempoh dua tahun ini selepas itu sentiasa menjadi tajuk utama berita antarabangsa.   

 Tanggal 3 Julai 2013 menyaksikan episod hitam yang mencacatkan sejarah Mesir. Rampasan kuasa tentera yang terancang rapi itu akhirnya mengheret tragedi kemanusiaan yang paling ngeri apabila enam ribu lebih telah gugur sebagai syuhada manakala puluhan ribu yang lain mendekam dalam penjara militer. Mesir terpancing dalam nafas dan gelora hitam, awan hitam menyerkup kemanusiaan dengan dengusan ngeri. 

Tragedi ini juga telah menyingkap wajah sebenar kemunafikan rejim negara Teluk yang turut bersekongkol untuk memadamkan Ikhwanul Muslimin daripada peta umat islam. Israel yang menjadi dalang untuk turut berpestapora sehingga Gaza turut dihempap duka lagi dengan penutupan semula Rafah.

Dunia juga terpanar dengan hukuman gantung terhadap 100 orang lebih pimpinan dan aktivis Ikhwanul Muslimin, ironi sekali dengan situasi dan tahap ketuliaan masyarakat sivil dunia.

Mesir seolah memekakkan telinga dengan bantahan awam yang berlaku dipelbagai negara umat Islam, juga sikap diam membisu Amerika"polis antarabangsa" sangat menjengkelkan.

Hanya negara Turki yang berani menjerkah sistem keadilan Mesir dan juga kebobrokan regim kudeta. Kerajaan ummat Islam lain hanya menjadi pemerhati bisu, juga seolah membiarkan kezaliman terus menyerkap tanah Mesir. Damailah Dr Muhammad Morsi,namamu akan terpahat kekal dalam ingatan kolektif kami. Denai kehidupanmu berjasa dan bermaruah, menyatakan Islam walau dibenci oleh kuffar dan kelompok munafik. Moga Ardhul Kinanah akan kembali direngkuh oleh kelompok Islam yang ingin melihat Deenullah ini tertegak dengan  Syariat  Allah. 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan