Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah adalah ayahanda saudara kepada Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Tuanku Sultan Terengganu. Beliau lebih dikenali dengan gelaran dari istana, Tengku Seri Paduka Raja atau kalau orang Terengganu akan menyebut dalam dialek Terengganu “Ku Dduke”. Izinkan saya memanggil YM Tengku sebagai Ayahanda sebagai rasa hormat kepada YM Ayahanda.
Baru-baru ini, YM Ayahanda ada mengeluarkan satu kenyataan, ditujukan kepada Kerajaan Terengganu berkenaan tiadanya pembangunan yang dilaksanakan sepanjang empat tahun pemerintahan PAS di Terengganu, tidak sebagaimana Umno lakukan sebelum ini. Dan juga hasratnya untuk mengetuai satu gerakan mengembalikan Royalti Petroleum ke Terengganu.
Boleh saya katakan bahawa ayahanda adalah salah satu ‘jigsaw’ yang penting dalam keseluruhan ‘puzzles’ politik Terengganu. Pasti akan cacat potret politik Terengganu, jika tiadanya nama YM Ayahanda disertakan. Saya masih ingat selain beberapa orang dari kalangan anak raja yang berjuang melalui politik, seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Syed Razlan Jamalulail, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan juga YM Ayahanda salah seorang daripada mereka.
YM Ayahanda menyertai Semangat 46 dan menang Dun Tanggul (16 undi) pada tahun 1990. Ketika itu gabungan PAS dan S46 dipanggil Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang telah menjadikan sasaran sebagai Tahun Tawan Terengganu (3T). Malang nasib APU di Terengganu, tidak sebaik APU di Kelantan dan Sabah yang berjaya menumbangkan Umno-BN. Daripada 10 kerusi APU menang, kemudiannya Bukit Payong kalah dalam pilihanraya ulangan (kerana bantahan) pada tahun 1992.
Dalam ceramah-ceramah YM Ayahanda ketika itu, saya sentiasa tersenyum apabila YM Ayahanda selalu mengusik MB Terengganu ketika itu Almarhum Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dengan panggilan manja ‘Awang Tar’ kita. Kemudian pada PRU ke-9, tahun 1995, YM Ayahanda tewas di kerusi Ajil. S46 juga ketika itu semakin pudar semangatnya untuk melawan Umno.
Tidak lama selepas PRU-9 itu, Ku Li masuk Umno. Maka semua pahlawan-pahlawan S46 Terengganu juga mula meninggalkan parti. Nama-nama seperti Datuk Sulong, Datuk Salleh, Datuk Manan Othman, Ibrahim Azmi, termasuklah juga YM Ayahanda, tidak lagi berjuang atas nama S46. Ada yang masuk Umno, seperti YM Ayahanda dan ada yang mendiamkan diri sahaja.
Kemudian, diadakan satu acara menerima borang keahlian Umno di rumah YM Ayahanda. Antara orang PAS yang masuk Umno melalui YM Ayahanda ialah Ustaz Ghazali Losong yang kemudiannya Ustaz Ghazali bersama beberapa ulamak Umno, mengadakan satu lakonan ‘debat olok-olok’ bagi melawan PAS. Ustaz Ghazali berlakon mewakili PAS, dan beliau ‘tapau’ semua ulamak Umno, termasuk Nakhaei Ahmad dalam debat itu. PAS menang debat olok-olok itu.
Sayang sekali, pada tahun 1999, apabila PAS menang PRU-10 dan menjadi Kerajaan Negeri, YM Ayahanda tidak bersama-sama menikmatinya. Dan agak lama kami tidak mendengar berita tentang YM Ayahanda. Tiba-tiba sekitar tahun 2012, YM Ayahanda muncul kembali dan menyertai PAS. Kami ahli PAS merasa amat gembira dengan keputusan YM Ayahanda itu.
Pada waktu itu, YM Ayahanda kembali aktif berceramah. Saya masih ingat di Kijal, YM Ayahanda berganding dengan Ustaz Mohd Nor, seorang Datuk, bekas Umno yang baru menyertai PAS dan Ustaz Hazri Jusoh telah mengatakan bahawa ada seorang cina yang begitu akrab dengan pemimpian Umno Terengganu yang bernama Ayang. Selain pendedahan itu, banyak lagi kisah Umno yang YM Ayahanda ceritakan. Rupanya ceramah YM Ayahanda masih berbisa.
Yang menjadi kehairanan saya, apabila YM Ayahanda masuk Umno, YM Ayahanda tidak segarang mana menyerang PAS, tidak ada isu salahguna kuasa. Tetapi apabila melawan Umno, banyak sekali pendedahan negatif yang Umno lakukan, YM Ayahanda dedahkan. Saya yakin bahawa YM Ayahanda ada ikatan kasih dengan PAS, tetapi mungkin ada beberapa kekeliruan yang berlaku menyebabkan YM Ayahanda keluar PAS selepas PRU-13.
Buktinya, pada tahun 2019, YM Ayahanda telah memuji YAB MB Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkenaan keputusan tegas beliau menutup 50 GLC yang rugi, kerana tiada hasilnya. Kata YM Ayahanda lagi, ia sama dengan perjuangan YM Ayahanda sewaktu menjadi Adun dahulu. Bermakna PAS mempunyai rasa tanggungjawab terhadap wang rakyat, sama seperti pemikiran YM Ayahanda, seorang anak raja yang menjiwai denyut nadi rakyat. Begitulah panjangnya kisah politik YM Ayahanda.
Dan percayalah YM Ayahanda, yang dakwaan YM Ayahanda tiadanya pembangunan selama empat tahun ini adalah kerana tangan-tangan Umno yang telah menyebabkan YAB MB terpaksa melupakan dahulu sebentar pembangunan besar yang lain dan menumpukan membaik pulih kerosakan yang Umno lakukan di Terengganu. YM Ayahanda tentu faham dengan perangai Umno, kan?
Wang royalti juga telah Terengganu perolehi, alhamdulillah. Ia berbeza dengan Kelantan. YM Ayahanda boleh kembali kepada PAS bagi sama-sama menyumbang fikiran untuk membangunkan negeri yang sama-sama kita cintai ini dengan hasil wang ini. Tidak perlu kepada mana-mana pergerakan. Tentu sahaja YM Ayahanda mempercayai PAS kerana YM Ayahanda telah melihat sendiri perbezaan dua parti ini. Kami yakin, perjuangan kita akan lebih bermakna lagi jika kita bersama.
Mohd Nasir Abdullah
13 Jun 2022
Ulasan