Para jemaah haji yang datang dari seluruh penjuru dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah bagi menyahut seruan Nabi Ibrahim AS. Baginda AS dahulunya telah ditugaskan agar membina Baitullah (Rumah Allah) atau Kaabah yang menjadi kiblat kepada umat akhir zaman.
Allah SWT juga memerintahkan Nabi Ibrahim AS supaya menyeru seluruh manusia agar datang berhimpun di Makkah untuk mendekati Rumah Allah. Hal ini adalah semata-mata bagi mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dan mengeratkan hubungan sesama manusia, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh firman-Nya:
“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dan mereka datang dengan menunggang unta yang kurus; mereka datang dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)
Nabi Ibrahim AS dimuliakan oleh penganut berbagai-bagai agama bukan sahaja penganut Islam, malah dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) termasuklah daripada kalangan Musyrikin penyembah berhala. Mereka menyebutkan nama Baginda AS dengan Ibrahim atau Abraham atau Brahma. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada kalangan orang-orang Musyrik.” (Surah Ali ‘Imran: 67)
Allah SWT memilih Nabi Ibrahim AS untuk memakmurkan Kota Makkah, bumi yang paling tua di muka dunia dengan mendirikan bangunan rumah yang dinamakan Kaabah atau Baitullah (Rumah Allah). Tempat tersebut dinamakan sedemikian kerana dibina berpandukan perintah Allah SWT.
Selain itu, generasi daripada kalangan zuriat Ibrahim AS lahir di Makkah, satu kaum berbangsa Arab yang dinamakan Quraisy (jerung). Suatu nama haiwan yang paling gagah dan perkasa di tengah-tengah lautan.
Semuanya menjadi persediaan sebelum dilahirkan daripadanya nabi terakhir dalam kehidupan dunia kepada seluruh manusia pada akhir zaman. Hal ini sekali gus berbeza daripada para rasul sebelumnya yang hanya diutuskan kepada satu bangsa, dalam satu kawasan dan satu masa sahaja. Nabi akhir zaman akan lahir daripada kaum Quraisy itu.
Bangsa yang sama juga menjadi pasukan pertama yang berjuang bersama nabi terakhir kepada seluruh manusia itu dalam menghadapi semua kerajaan yang berkuasa dan berdakwah supaya semua pihak beribadat kepada Allah SWT sahaja. Pada masa yang sama, berjuang memakmurkan bumi dengan petunjuk Allah SWT yang diisytiharkan sewaktu pada permulaan dalam penciptaan manusia terawal (Adam AS dan Hawwa’ AS).
Dalam pada itu, Nabi Ibrahim AS diperintahkan agar mendirikan bangunan Kaabah sebagai simbol beribadat ke arah satu hala atau arah yang sama dengan menyembah Allah SWT, bukan dengan menyembah batu-batan yang terdapat pada bangunannya. Sekiranya dirobohkan bangunan itu seterusnya dipindahkan ke tempat yang lain juga, hendaklah dihadapkan wajah seseorang itu ke arah sana dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
Beribadat itu menjadi konsep kepada seluruh cara hidup manusia yang bermasyarakat dan bernegara. Perkara ini ditegaskan dengan sebutan setiap Muslim yang mendirikan solat melalui firman-Nya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.’” (Surah al-An‘am: 162)
Allah SWT memberi jaminan kepada penduduk Makkah yang paling terpencil dan berada di tengah-tengah padang pasir yang paling kering, tanpa apa-apa kemudahan dengan firman-Nya:
“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (dalam menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2); Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberi mereka penghidupan (makanan) bagi menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” (Surah Quraisy: 1-4)
Ayat di atas menegaskan mereka wajib beribadat kepada Allah SWT sahaja dengan menghadap ke arah Rumah Allah (Kaabah). Ibadat yang mereka lakukan itu bagi menjamin kemapanan ekonomi dan kekuatan politik yang memberi keamanan dan keselamatan kepada mereka daripada segala ancaman.
Apabila mereka tidak dapat bercucuk tanam pokok kerana keringnya menyebabkan mereka bermusafir kerana ingin berniaga pada musim sejuk ke negeri Yaman dan musim panas ke negeri Syam. Yaman ialah pelabuhan kepada penduduk dari timur, manakala Syam ialah pelabuhan kepada penduduk daripada barat. Maka, mereka menjadi penghubung di antara timur dengan barat dalam hubungan antarabangsa pada zaman awal.
Justeru, daripada generasi mereka dilahirkan Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW dan daripada kalangan mereka juga menjadi pasukan terawal bersamanya.
Allah SWT menyatakan kelahiran Rasul akhir zaman itu dalam semua kitab suci pelbagai agama dan meminta semua para rasul sebelumnya agar berpesan kepada pengikut masing-masing supaya beriman dan membantu Rasul akhir zaman kelak. Namun, malangnya ramai yang menyeleweng dari sudut aqidah, syariat dan akhlaknya, lalu mereka menjadi musuh yang menentang kebenaran daripada Allah SWT dan terpesong daripada petunjuk-Nya.
Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi (dengan firman-Nya), ‘Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmah yang Aku berikan kepada kalian, kemudian datang pula kepada kalian seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kalian, hendaklah kalian beriman sungguh-sungguh kepadanya dan hendaklah kalian menolongnya.’ Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka), ‘Apakah kalian mengakui dan menerima ikatan janji-Ku yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami berikrar (mengakui dan menerimanya).’ Allah berfirman lagi, ‘Jika demikian, maka saksikanlah kalian (para nabi), dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kalian.’ (81); Kemudian, sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82); Maka, patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama yang lain selain daripada agama Allah? Padahal segala makhluk yang ada di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, sama ada secara sukarela ataupun terpaksa. Dan hanya kepada-Nya jua mereka dikembalikan. (83)” (Surah Ali ‘Imran: 81-83)
Mereka yang berhimpun untuk menunaikan ibadat haji di Makkah dengan syarat mempunyai kemampuan dari sudut jasad, harta dan keamanan dalam perjalanan. Oleh itu, ibadat haji itu ibadat jasad, roh dan harta yang berkait dengan seluruh cara hidup manusia termasuklah urusan politik dan ekonomi.
Mereka terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan warna tanpa mengira pangkat, harta dan ilmu yang berbeza dengan melafazkan ucapan menyahut seruan Nabi Ibrahim AS:
“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala kepujian, ni‘mat dan kerajaan yang benar-benar berkuasa adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.” (Riwayat al-Bukhari 1549, Muslim 1184 dan lain-lain)
Mereka bukan sahaja saling berkenalan antara satu sama lain, bahkan berniaga sambil beribadat ketika bertemu dan bersaudara dengan ikatan aqidah Islamiah. Mereka juga diperintahkan menjaga diri masing-masing dalam keadaan bersatu dan bersaudara ketika berhimpun di sisi Rumah Allah (Kaabah) menjadi lambang perpaduan umat. Firman Allah SWT:
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah pada beberapa bulan yang telah dimaklumi. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka janganlah dia mencampuri isterinya, dan tidak berbuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam (mengerjakan) ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kalian kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kalian membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikirkan dan memahaminya).” (Surah al-Baqarah: 197)
Sesiapa yang diwajibkan kepadanya untuk menunaikan ibadat haji itu hendaklah menahan dan mengawal hawa nafsu mereka. Mereka tidak dibenarkan berlaku lucah, jahat dan berkelahi ketika mereka berada di sisi Kaabah.
Perhimpunan yang diadakan di sisi Rumah Allah memberikan suatu pelajaran dan tarbiah dengan penuh ikhlas supaya sifat tersebut dipanjangkan, sehingga mereka pulang ke tanah air masing-masing.
Kini, kita dihinggapi dengan penyakit perpecahan umat Islam di seluruh pelosok dunia termasuklah apa yang berlaku di Alam Melayu yang besar jumlah umat Islamnya. Sekiranya digabungkan jumlah penganut Islam di seluruh pelosok dunia, bilangannya sudah pun melebihi jumlah satu bilion (1.3 bilion).
Akan tetapi, berlaku apa yang pernah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW: melalui sabdanya:
“Akan tiba masanya kalian dikerumuni oleh umat manusia, laksana mengerumuni hidangan yang lazat (dikoyak dan dicengkam dengan penuh rakus).”
Lalu seorang sahabat bertanya: “Adakah kerana jumlah (bilangan kita) pada masa itu adalah sedikit?”
Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan jumlah kalian ramai, tetapi laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan kehebatan kalian yang dirasakan oleh musuh dalam diri mereka, dan dicampakkan ke dalam diri kalian penyakit al-wahan (rasa hina dan lemah).”
Kemudian salah seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu penyakit al-wahan?”
Sabda Rasulullah SAW: “Terlalu cintakan dunia (sehingga tamak dan rakus) dan terlalu takutkan mati.” (Riwayat Abu Dawud 4297 dan Ahmad 22397)
Manusia dalam keadaan mabuk dengan kesenangan dunia dan banyaknya maksiat atau dosa, sehingga mereka takut bertemu Allah SWT dengan berlakunya kematian. Perubahan ke arah negatif berlaku terhadap umat Islam kerana lemahnya pegangan mereka kepada agama dan memisahkan urusan kehidupan daripada petunjuk agama.
Sekalipun dikerjakan ibadat seperti solat, berzikir, berdoa, haji dan kerap menunaikan umrah ke Makkah dan menghadap ke arah Rumah Allah (Kaabah), tetapi dalam urusan politiknya menghadap ke Rumah Putih (White House) di Washington. Malah, dari sudut ekonomi pula menghadap ke arah Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dari sudut ibadat mereka mengikut petunjuk Allah SWT, tetapi dari sudut politik, ekonomi dan urusan kehidupan yang lain mereka tidak mengikuti petunjuk-Nya. Allah SWT berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus. Maka, hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (yang lain selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Demikian itulah, Allah memerintahkan kalian, supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)
Dalam ayat di atas, seluruh umat diperintahkan agar mengikuti jalan yang lurus (betul) dan sekali-kali tidak mengikuti jalan-jalan yang lain supaya mereka tidak bercerai-berai terkeluar daripada jalan yang betul.
Allah SWT menetapkan umat Islam berada di bumi yang subur dan kaya hasilnya, dalam kedudukan satu sama lain mudah untuk berhubung sesama mereka. Malangnya, perkara itu langsung tidak berfaedah kerana mereka meninggalkan petunjuk Allah dan menghadap arah kiblat yang salah dari sudut cara hidupnya. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka berpecah belah dan lemah, lantas dikuasai oleh musuh mereka.
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Zulhijjah 1443 / 6 Julai 2022
#PASTerengganu #TeguhPertahan #TerengganuMajuBerkatSejahtera #IslamMenyatukanUmmah
Ulasan