Kehilangan Permata Berharga

 


Oleh : Adli Mohd

KUALA NERUS - PAS Terengganu kehilangan permata yang sangat berharga, apabila wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di kediamannya di Taman Perumahan Permint Perdana Seberang Takir, malam tadi.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu (BPPNT), YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, selama ini arwah sangat aktif membuat liputan ke seluruh negeri Terengganu walaupun secara bersendirian bagi memaparkan berita terkini tentang perkembangan semasa mengenai parti tanpa kenal jemu, penat dan lelah.

"Kita sanggat berbangga mempunyai insan yang hebat sebegini, terlibat secara aktif walaupun tidak memegang jawatan yang tinggi.

"Bukti kehadiran ramai hari ini untuk beri penghormatan terakhir dan solat jenazah di Masjid Jamek Tok Jiring menjadi tanda Allah telah memuliakannya," ujarnya ketika ditemui di Masjid Jamek Tok Jiring, pada Isnin, 18 Julai.

Jenazah telah disolatkan di Masjid Jamek Tok Jiring dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maahad Tahfiz Wa Al Tarbiyyah, Tok Jiring.

Sementara itu Pengerusi Tetap Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Hamdan Mohamad, berkata Khairul Azlam merupakan anak muridnya ketika di Institut Berakan suatu ketika dahulu. 

"Bagi saya dia merupakan salah seorang anak murid yang baik, istiqamah dengan perjuangannya sebagai wartawan sehingga ke akhir hayat sangat gigih dan rajin.

"Dia berkerja sampai pukul 1 pagi menyiapkan berita untuk Harakah, bagi saya satu kehilangan yang sangat besar.

"Mengimbas detik awal keterlibatannya dengan wartawan ini adalah ketika di Institut Beratkan dahulu kita adakan kursus kewartawanan antara yang terlibat bagi mendidik dan melatih wartawan ini ialah pak Subky Latif, A Shukur Harun, Azizi Haji Abdullah," ujarnya.

Tambah beliau dari kursus kewartawanan itu yang benar-benar terjun ke dunia kewartawanan ialah Khairul Azlam.

"Dimana hasrat kita anjurkan kursus itu sebenarnya untuk kita ketengahkan mereka yang kita rasa yakin dan mampu untuk kita ketengahkan sebagai wartawan, dan dia adalah antara yang sanggup terjun ke lapangan ini, dan terjun pula secara istiqamah itu yang ana rasa sangat kehilangan," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan BPPNT, Idris Halim berkata, tanpa apa-apa jawatan dalam parti, Khairul Azlam benar-benar telah berperanan dan membantu.

"Apabila diminta untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan dia tidak pernah berdalih dan berkata tidak dia akan membantu sehabis daya.

"kerja buatnya ikhlas, namanya tiada dalam senarai AJK, Jabatan ataupun Lajnah Penerangan namun begitu, selama ini peranannya cukup besar di sebalik tabir," ujarnya.

Ulasan