Ziarah Muslimat Tidak Bermusim


Oleh : Ummi Syuhada Halmi Shari

KEMAMAN - Amalan ziarah-menziarahi yang menjadi aktiviti  utama muslimat Parti Islam Se-Malaysia(PAS) tidak  bermusim tetapi menjadi budaya dalam melaksanakan tugas dakwah. 

Timbalan Ketua  Muslimat PAS  Terengganu, Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman  berkata, melalui aktiviti  tersebut,  pelbagai golongan masyarakat dapat didekati tanpa mengira status sosial dan ekonomi. 

“Terutamanya mereka yang sentiasa berhubung dengan masyarakat iaitu golongan Al Mala,  mereka merupakan salah satu golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat, 

"bertanya khabar dan bercerita dengan mereka, menyebabkan muslimat dapat menyelami segala permasalahan mereka dengan lebih mendalam, ” ujarnya. 

Beliau yang juga Ketua Muslimat Kuala Nerus ditemui selepas Program Ziarah Al-Mala Muslimat sempena lawatan  Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ke sini pada 23 Julai lalu. 

Turut sama dalam program berkenaan ialah Pengarah Pilihan Raya Muslimat Terengganu, Samsiah Abu Bakar, Ketua  Muslimat Kemaman, Ustazah Fainah Mat dan  Ketua  Lajnah Kebajikannya, Zahiyyah Rahman.

Dalam program itu, seramai enam orang Al-Mala’  terdiri daripada tukang urut, peniaga warung dan tukang jahit telah berjaya disantuni di sekitar Kampung Besut dan Kampung Jaya, Cukai.

Salah seorang daripada mereka, Noraini  Abdul Rani, 48 terharu dengan kehadiran muslimat ke kediamannya, berkata pendapatannya sebagai seorang tukang jahit sedikit terjejas semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)yang lalu. 

“Alhamdulillah, sekarang ni saya kembali mendapat tempahan baju usai PKP dan kembali normal seperti sebelum PKP yang lalu.” katanya ketika ditemui. 

Ulasan