Fokus Agenda Satu Lawan Satu


KUALA TERENGGANU -  Parti Islam Se-Malaysia (PAS)  tetap fokus bagi memastikan agenda satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang tercapai.

Ketua Penerangan PAS Pusat YB Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, parti ini akan terus berusaha menjayakan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN). 

“Agenda ini memerlukan penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara.

“Pemerintahan PH selama 22 bulan telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada kepentingan rakyat bahkan juga kepada kedaulatan negara dan kepentingan umat Islam serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada hari ini.

Menurutnya, PAS akan berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU-15 melalui apa jua kaedah dan cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti.

“Penyatuan ummah ini akan dilakukan dengan berasaskan kepada tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau iaitu adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera.

Ulasan