PAS Terus Menyeru Kepada 'Perpaduan Ummah'


KUALA TERENGGANU - PAS masih terbuka dan menyeru  mana-mana parti politik untuk bekerjasama  ke arah memastikan agenda 'Perpaduan Ummah' dapat dicapai.

Naib Presidennya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS tetap mempertahankan agenda murni itu kerana ia merupakan asas dalam memastikan wujudnya kestabilan politik. 

"Walau apa jua nama, cara dan apa yang kita boleh buat akan kita usahakan tidak kiralah samada Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN), atau apa-apa jua gagasan.

"Paling penting 'Perpaduan Ummah' itu dapat dicapai untuk memperolehi kerajaan yang lebih stabil,  kalau hendak bergerak ke hadapan dengan lebih cepat.

"Berbanding dengan negara jiran yang sudah bergerak jauh ke hadapan, tidak ada cara lain kita perlu mewujudkan kestabilan politik dalam negara kita ini," jelasnya. 

Beliau yang juga Menter Besar Terengganu berkata demikian kepada pihak media, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada kepimpinan untuk memutuskan, kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum akan datang. 

"bagi mana-mana ADUN dalam PAS ia adalah keputusan parti, kerusi itu sendiri bukan milik penyandang atau individu, jadi terserah kepada parti.

"Saya orang parti dan terpulang kepada PAS untuk membuat apa jua keputusan sekalipun," ujarnya lagi.

Ulasan