PAS Tolak Kerjasama Dengan PH


KUALA TERENGGANU - PAS menegaskan parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat semalam telah memutuskan bahawa agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional akan terus menjadi fokus utama pihaknya.

Katanya, PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera.

“Kerjasama antara parti itu adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, negeri yang diterajui oleh PAS tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023.

“Langkah ini dibuat bagi memberi tumpuan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang ekonomi dan kesihatan,” tegasnya.

Ulasan