PAS Yakin Menang 32 Kerusi Kekal Terengganu


BESUT- PAS  yakin akan kekal mempertahankan kemenangan di Terengganu dengan menang semua di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bendahari PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya tidak tergugat dengan kenyataan UMNO yang menyatakan keyakinan 12 kerusi yang selama ini dimenangi tipis oleh PAS akan kembali semula kepada mereka.

"Kalau formula seumpama itu kita pakai maka kawasan yang UMNO menang sikit macam Kuala Besut dengan melihat perkembangan semasa yang berlaku kita yakin boleh menang dengan 200 majoriti.

"Begitu juga dengan Bukit Besi dengan jumlah angka pertambahan ahli, bahkan rakyat di DUN tersebut juga sedang memuji bagaimana perkhidmatan yang telah diberikan oleh Penyelaras dalam memberikan setiap bantuan walaupun wakil rakyat UMNO ada di situ.

"Yang lebih dekat dengan rakyat selama ini adalah PAS, di Telemong sendiri kalau dilihat pada hari ini walaupun ia kerusi yang dimenangi oleh UMNO rakyatnya boleh melihat selama ini siapa yang lebih mengambil berat dan mencaknai kebajikan penduduk serta sentiasa menghulurkan bantuan," ujarnya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata demikian ketika ditemui di Program Dakwah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), pada Jumaat 27 Ogos.


Mengulas lanjut katanya, jumlah kerusi yang mahu dimenangi oleh UMNO hanya sekadar disebut sebaliknya rakyat boleh melihat pati mana yang selama ini lebih bersungguh menjaga kebajikan rakyat.

"Jadi saya yakin, insya-Allah kita sama-sama berdoa agar kerajaan PAS di negeri ini dapat dipertahankan.

"Paling utama kita melihat 'trend' masyarakat dan rakyat yang sangat memberikan sambutan yang mengalakkan terhadap setiap program yang kita adakan.

"Dengan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS), Karnival Penghayatan Islam dan pelbagai program lagi kita melihat sambutan masyarakat khususnya anak muda sangat baik," katanya.

Justeru beliau yakin, kalangan anak muda sedang memberikan keyakinan dan kepercayaan untuk terus mengekalkan kerajaan Terengganu untuk terus menang diterajui PAS itu 

"Saya juga melihat rakyat Terengganu sangat cerdik dalam memilih dan menilai maka sudah tentu mereka akan mempertahankan kerajaan ini," ujarnya lagi.

Ulasan