PN Sedia Mentadbir Negara


MARANG – Kemampuan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada beberapa parti politik ternyata nekad dan bersedia sepenuhnya mengemudi agenda negara.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Gurun Abdul Hadi Awang berkata gabungan itu berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam pentadbiran negara.

“PN berjaya menghadapi masalah ekonomi dan juga pandemik wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. 

“Masalah tersebut mampu kita atasi dengan dilihat sendiri rakyat, menjadikan bukti kemampuan kita dalam mentadbir.

“Pilihan raya sudah dekat, kita minta rakyat beri kepercayaan kepada PN. Ajak rakan-rakan untuk mengambil tanggungjawab bagi menyelamatkan negara, bukan merebut kuasa,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Dataran Tok Guru, Rusila di sini, pada Sabtu, 30 Julai.

Perikatan Nasional Negeri Terengganu dilancarkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan kehadiran melebihi 10,000 orang.

Pada masa yang sama, pengumuman pelantikan barisan kepimpinan PN Negeri Terengganu turut diumumkan dengan diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Terengganu.

Ulasan