PRU15; Pihak Yang Menekan PM Perlu Sedar Diri

 

KUALA TERENGGANU - Bukan soal takut atau tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan Perdana Menteri (PM) secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini.

Timbalan Presiden PAS Dato' Sri Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man menegaskan, kerajaan kini bukan didominasi oleh Barisan Nasional (BN), sebaliknya ia adalah dokongan daripada Perikatan Nasional (PN) serta rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Maka, apa sahaja keputusan untuk membubarkan Parlimen mesti diputuskan bersama anggota kabinet serta parti yang mendokong kerajaan.

“Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihanraya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.” Jelasnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurutnya, PAS serta komponan PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihanraya negeri-negeri dan pada 3hb September depan, pelancaran Jentera Pilihanraya Peringkat Kebangsaan akan diadakankan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat.

“Manakala PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihanraya PN pada 27hb ini. Maka tidak timbul soal tidak bersedia atau lainnya.

”Kita yakin pihak berkepentingan akan terus menekan PM tanpa melihat realiti parti  yang mendokong kerajaan kini.” tambah beliau.

Ulasan