Selatan Thailand Digegar Serangan Bom


Pihak berkuasa berkata pada 17 Ogos, letupan dan kebakaran telah melanda sekurang-kurangnya 17 lokasi di selatan Thailand yang kelihatan seperti beberapa serangan terkoordinasi, mencederakan beberapa orang.

Pengeboman dan serangan pembakaran berlaku lewat pada hari Selasa dan pada awal pagi Rabu, kata pegawai tentera dan polis.

Jurucakap tentera Pramote Promin berkata sekurang-kurangnya 17 serangan berlaku di wilayah selatan Pattani, Narathiwat dan Yala, kebanyakannya di kedai-kedai kecil dan stesen minyak. 

Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga orang awam dilaporkan cedera, akibat kekacauan yang sehingga kini tiada siapa mengaku bertanggungjawab. 

Kapten polis Sarayuth Kotchawong berkata beliau menerima laporan sejurus sebelum tengah malam bahawa seseorang telah memasuki sebuah kedai di sebuah stesen minyak di sebuah daerah di Yala. 

Katanya, suspek meletakkan sebuah beg hitam dan memberi amaran kepada pekerja supaya keluar jika mereka "tidak mahu mati".

Para petugas di premis itu pergi sebelum beg itu meletup 10 minit kemudian.

Wilayah-wilayah di selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia telah menyaksikan pemberontakan peringkat rendah selama beberapa dekad. 

Kerajaan Thai telah memerangi kumpulan yang menuntut kemerdekaan untuk wilayah Pattani, Yala, Narathiwat, dan sebahagian Songkhla yang majoritinya beragama Islam.

 Lebih 7,300 orang telah terbunuh dalam konflik itu sejak 2004, menurut kumpulan Deep South Watch, yang memantau keganasan itu. 

Ulasan