UBAH Untuk Apa?

 


Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN - Kebiasaan  perubahan akan dibuat, beralih daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, namun sesuatu yang telah elok tidak perlu lagi diubah malah perlu dikekalkan.

Naib Yang Dipertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh berkata banyak yang telah diubah oleh Kerajaan PAS Negeri Terengganu.

"Pada tahun 2001, kita telah mengubah menjadikan Al Quran, Al Sunnah, Ijma' Ulama' dan Qias sebagai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu dengan izin Yang Dipertuan Sultan Terengganu merupakan satu perubahan yang besar telah kita lakukan.

"Antaranya perkara yang telah kita ubah adalah hutang kerajaan negeri dimana kita telah berjaya membayar sebanyak 70 peratus hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu. Adakah kita perlu ubah untuk menambahkan lagi hutang?," ucapnya.


Beliau menyatakan walaupun kerajaan kerugian sebanyak 14.3 juta setahun kerana tidak mengenakan cukai pintu kediaman, namun ianya tetap diteruskan demi kebajikan untuk rakyat negeri Terengganu.

Hazri berucap ketika merasmikan Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal pada 14 Ogos kepada mangsa banjir di kawasan Kijal.

"Oleh itu, tidak perlu kita ubah kerajaan yang sedia ada ini jika ingin terus melihat perubahan, kebajikan dan kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan bertepatan dengan tema Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya

Ulasan