Himpunan Terbesar Rakyat Teguh Pertahan

 


KUALA TERENGGANU -  Himpunan  Teguh Pertahan menyasarkan 100,000 kehadiran akan menjadi program terbesar bagi menzahirkan semangat rakyat untuk bangkit mempertahankan kerajaan PAS di negeri ini.

Bendahari PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, lebih bermakna ia diadakan pasca Muktamar Tahunan PAS di Kedah yang baru sahaja berakhir.

"Terengganu boleh beri saham untuk menjayakan tema 'Malaysia Sejahtera' pada waktu sama hendak kekalkan Terengganu, insya-Allah 22,23 dan 24 September himpunan ini akan diadakan untuk menunjukkan kebangkitan rakyat Terengganu.

"Hendak membangkitkan semangat seluruh jentera PAS agar datang dan akhirnya mereka akan berkerja di setiap lapisan dan melaksanakan tugasan yang diarahkan di setiap lokaliti untuk mengajar rakyat mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Buletin Online, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Ucapan Dasar Presiden Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang lalu merupakan suatu ucapan dan arahan yang baik untuk dilaksanakan di seluruh peringkat.

"Masing-masing (perlu) buat kerja, kurangkan mengkritik, berbalah, bertelingkah dan berikan tumpuan untuk laksanakan arahan.

"Terakhirnya kita minta pasang bendera besar-besar untuk menimbulkan kembali syiar PAS agar anak-anak muda kita bersemangat untuk mempertahankan kerajaan yang ada," katanya lagi.

Ulasan