Kelantan, Terengganu Dan Kedah Wajib Dipertahankan


ALOR SETAR - Tiga negeri yang dikuasai PAS diisytiharkan sebagai “Negeri Pengkalan” yang wajib ahli PAS mempertahankannya dalam PRU yang akan datang dan dilaksanakan mengikut bidang kuasa negeri-negeri.

Selain itu, semua kawasan-kawasan Parlimen dan Dun-Dun yang dimenangi PAS mesti diberikan perhatian dengan menarik sokongan rakyat seramai mungkin, mesti dilakukan dengan apa juga cara dengan kefahaman dan kesedaran termasuk khidmat masyrakat dan kegiatan sosial.

Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam ucapan Dasar Muktamar PAS ke-68, membayangkan betapa seriusnya PRU yang bakal menjelma nanti.

"Cawangan-cawangan dan kawasan-kawasan mesti diaktifkan, ditambah supaya menguatkan lagi akar umbi PAS di tempat terbabit yang akan menjadi jemaah dan jentera yang bertugas di masa hadapan.


"Dalam menuju kemenangan, PAS memberikan peranan besar kepada semua sayap iaitu Dewan Ulamak, Muslimat, Dewan Pemuda, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan keseluruhan organisasi PAS di semua peringkat bagi memberikan penerangan kepada rakyat," katanya. 

Tambah beliau, semua itu memerlukan kekuatan dalaman bermaksud ahli PAS mesti menunjukkan perpaduan sesama sendiri dahulu sebelum mahu menjadi juara perpaduan ummah, tidak berpecah belah, berkelahi dalam jemaah.

“Kini PAS mempunyai lebih sejuta ahli, 197 kawasan dan ribuan cawangan, maka susunlah jentera daripada sumber yang ada dan wujudkan strategi yang terbaik dengan pendekatan demokrasi damai, yang menjadi pilihan kita.

"Inilah pendekatan pertama dalam perjuangan Islam, khusus dalam tanahair sendiri,” pesan beliau kepada perwakilan.

Ulasan