Khidmat Malaysia Lancar Tabung Operasi Banjir


KUALA TERENGGANU - Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) melancarkan tabung sumbangan untuk menggerakan  operasi bantuan banjir di seluruh negara.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pihaknya menganggarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM500,000 diperlukan untuk menghadapi bencana pada kali ini. 

“Oleh itu, Khidmat Malaysia melancarkan Tabung Bencana RM100,000 untuk fasa pertama dalam tempoh sebulan bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Siti Zailah, bagi mendepani situasi banjir semua entiti yang bernaung di bawah Khidmat Malaysia seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat, Lajnah Kebajikan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs) serta Khidmat Malaysia di peringkat Negeri dan Kawasan turut dikerah memulakan persiapan.

“Ini termasuklah menyediakan tenaga kerja dan peralatan yang bersesuaian dengan operasi bencana nanti. 

“Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat kawasan, kelengkapan dan peralatan pentadbiran mestilah dipersiapkan,” jelasnya.

Terdahulu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan bahawa hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini boleh membawa kepada banjir besar.

“Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. 

“Kebimbangan tersebut ditambah lagi dengan fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan akan menyebabkan peningkatan taburan hujan, ujarnya.

Tambah beliau lagi, amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia mestilah dipandang serius oleh semua pihak yang ingin merancang apa jua aktiviti termasuklah terhadap gesaan supaya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) diadakan pada penghujung tahun ini. 

“Dengan banyak aset milik kerajaan termasuk pasukan keselamatan akan dikerah untuk membantu rakyat sekiranya berlaku banjir pada akhir tahun ini dan anggota keselamatan diberi peranan besar bagi menjaga keselamatan rakyat, sudah tentulah ia akan menyulitkan lagi keadaan,” katanya

Ulasan