'Koya' Umno Terengganu


Baru-baru ini, Dato' Rozi Mamat ada mengeluarkan satu formula ajaib bagi menawan Terengganu. Sifir beliau sangat mudah, senang dan pasti PAS akan kalah teruk jika ia dipraktikkan. Sifir mudah Umno Terengganu oleh Rozi itu, telah dijawab oleh sahabat saya Fahmi Mokhtar.

Rozi kira sebelah PAS sahaja yang hilang undi di Dun-Dun yang PAS memperolehi kurang undi majoriti. Dia dengan selamba melupakan kekuatan PAS boleh merampas Dun-Dun Umno yang kurang majoriti sekarang. Rozi jadikan seolah-olah pemikiran rakyat Terengganu seperti lebih bawah dari budak tadika yang masih terkial-kial mengira. Tetapi sememangnya begitulah Umno, sentiasa anggap rakyat bodoh dan pengemis.

Hari ini, keluar kembali idea Rozi yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, nukilan Zaid Mohd Noor, mungkin bersempena Muktamar PAS yang sedang hangat dipersiapkan sambutannya, mereka cuba mencucuk. Entah apa yang ada dalam pemikiran penulis, saya kurang pasti. Tetapi jelas, beliau masih naif tentang politik Terengganu. Kita maafkan beliau, mungkin Ketua Pengarang menyuruhnya dan kita tumpukan isi kenyataan Rozi.

19 daripada 20 manifesto kejayaan PAS, langsung tidak disebut, konon Kerajaan Negeri tidak berbuat apa-apa, tiada kemajuan. Begitu tertutup mereka dengan media-media yang ada, menyiarkan segala kejayaan itu. Tiada juga disebut projek-projek sakit berbilion RM oleh Umno dahulu disempurnakan semula oleh PAS. PM yang separti dengan mereka juga turut memuji kejayaan Kerajaan Terengganu malah sikap PAS yang tidak gilakan jawatan dan tidak menyusahkan PM juga disebut PM sebagai sikap yang terpuji.

Apakah Umno memikirkan bahawa bekerja di luar Terengganu sebagai hal yang hina? Atau ia salah di sisi undang-undang? Begitulah Umno Terengganu, menganggap bahawa kerja mesti dalam Terengganu, barulah negeri itu dikatakan maju dan Kerajaan Negeri berjaya. Tiadakah orang Selangor keluar dari negeri mereka, dan bekerja di luar walaupun negeri mereka dikatakan maju? Semua bekerja dalam Selangor sahajakah?

Dan semestinya Umno mesti membuktikan tiada rakyat Terengganu yang bekerja di luar Terengganu sewaktu mereka memerintah puluhan tahun dahulu. Jika benar, mengapakah ada NGO-NGO seperti PESAT yang menyokong Umno di perantauan yang diraikan oleh Umno ketika mereka berkuasa dahulu? Dan jangan lupa, kerajaan Umno kalah pada PRU juga kerana undi perantau yang berbondong-bondong pulang.

Naratif "Kerajaan Sepenggal" sedang dimainkan sekarang. Cuma perbandingan dengan 2004 dahulu, jauh dari hakikat sebenar. Mereka lupa menyebut tentang daftar pemilih dan juga rompakan royalti, dimana dua perkara utama ini yang menyebabkan kekalahan PAS setelah Akta Pilihanraya 2003 yang dipinda tergesa-gesa, melemaskan lagi PAS dalam serangan itu.

Perlu diingat, jumlah undi PAS tidak jatuh mendadak. Ia jatuh dalam kadar yang munasabah, masih berpeluang memenangi PRU 11 ketika itu. Yang naik mendadak ialah undi Umno, dengan daftar pemilih yang mengejutkan semua, termasuk juga orang Umno. Jangan lupa waktu mengundi di Selangor ditambah dua jam ketika itu. Untuk apa?

Kasihan kepada Rozi, jika semua ini tidak dimasukkan dalam perkiraan kemenangan yang mereka "koya"kan itu. Kerana ia akan pasti menjadi angan-angan yang sia-sia sahaja bagi Umno menang PRU 15 di Terengganu. Mungkin tiada siapa yang memperingatkan beliau atau mungkin juga kerana beliau amat selesa di Telemong yang tidak pernah kalah itu. 

Dan tidak terlepas kemungkinan juga Rozi tahu hal sebenanrnya, lalu memberikan harapan palsu kepada ahli Umno, sebagai balas dendam Ahmad Said awal-awal lagi meletakkan beliau di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, bagi menyekat peluang beliau dipilih menjadi MB. Hancur impiannya sebagai MB, dibuat bagaikan debu oleh Ahmad Said.

Terakhir, ada ayat yang ditulis dengan cara "menganjing" oleh penulis dalam artikel ini, iaitu Umno mahu menjadikan DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar senasib dengan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, apabila sepenggal sahaja menjadi MB.

Penulis samada lupa atau baru datang ke Terengganu, masih belum sempat membaca sejarah politik Terengganu. Idris Jusoh hanya sepenggal, (2004-2008), beliau tidak diperkenankan oleh Tuanku menjadi MB, sehinggakan memaki Tuanku. Ahmad Said (2008-2013 sambung sehingga 2014) sepenggal lebih setahun, sebelum diturunkan oleh DS Najib. Penulis patut mendengar tangisan beliau waktu itu.

Dan nasib DS Razif lebih malang apabila tidak cukup sepenggal menjadi MB (2014-2018) dengan berbagai isu ketika beliau menjadi MB. Jadi penulis perlu membaca sejarah Terengganu dahulu sebelum menulis apa lagi jika mahu "menganjing" atau ber"koya". MB PAS ketika 1999-2004 itu tidak turun dengan dimalukan oleh istana mahupun parti beliau sendiri. Beliau turun tahkta dengan cara terhormat, dikalahkan dalam PRU dengan penipuan. Ini baru dipanggil anak jantan.

"Koya " dalam bahasa Terengganu bermaksud berangan.

Mohd Nasir Abdullah
1 September 2022

Ulasan