Majlis Syura dan JK Pusat Tentukan Calon


ALOR SETAR - Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat diberi mandat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Presiden Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata,  kedua-dua jawantankuasa itu juga diberi mandat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum,  dasar dan strategi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan berlaku selepasnya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah Kota Sarang Semut di sini hari ini. 

Beliau seterusnya berkata,  peranan jumlah undi sangat penting bagi kemenangan pilihan raya mengikut konsep demokrasi. 

"Maka gerakan menarik pengundi seramainya menjadi tugas utama, " ujarnya. 

Katanya,  faktor kritikal kemenangan PAS dalam PRU15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya untuk menguasai pengundi. 

Justeru katanya,  PAS perlu menguasai Pengundi Tidak Berparti (PTB)  dengan melaksanakan pendekatan berilmu,  bermaklumat,  tidak menipu,  berkebajikan dan kepimpinan yang mesra dan cakna rakyat. 

"Maka Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) perlu bergerak aktif dan berkhidmat secara efektif kepada semua rakyat termasuk PTB, " jelas beliau. 

Selain itu katanya,  PAS hendaklah mesra Badan Bukan Kerajaan (NGO)  dan boleh bekerjasama bagi mendekati kumpulan PTB menerusi aktiviti yang tidak berbau kepartian. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata,  PAS juga mengambil kira saiz pengundi warga emas yang semakin meningkat di setiap Parlimen atau DUN.


"Maka jentera pilihan raya perlu menyantuni pengundi warga emas dengan memperkasakan Pasukan Kempen Assabiqun bagi mencapai sasaran strategi kemenangan di Parlimen dan DUN PAS bertanding, " ujarnya lagi. 

Oleh itu, kata beliau, PAS akan meningkatkan jumlah calon daripada kalangan anak muda dan wanita untuk bertanding dengan kerusi boleh menang.

"Persediaan kita bukan sahaja bagi mencapai kemenangan, lebih lagi berkemampuan mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

"Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat 'boleh menang', 'boleh diterima' dan 'boleh mentadbir' bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri," katanya.

Dalam pada itu katanya, kalangan golongan berwibawa dan profesional tidak akan dipinggirkan.

"Tidak akan dicicirkan dan (akan) terus menyumbang dalam konsep kerajaan teknokrat yang tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja," katanya.

Justeru itu katanya, apa yang paling utama adalah persediaan jentera pilihan raya di Parlimen dan DUN sasar menang.

"Hendaklah mempunyai kekuatan organisasi, petugas bagi setiap Unit Daerah Mengundi (UDM), pasukan kempen yang cekap dan berkesan.

"Gerak gempur pemilih dan penculaan bersepadu (perlu dilakukan)," ujarnya.


Ulasan