ALOR SETAR - Tema 'Pemuda Generasi Sejahtera' telah diangkat sebagai tema bagi menggesa Pemuda PAS untuk segera mempersiapkan kekuatan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, tema yang
diangkat pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 itu satu tawaran
kepada anak-anak muda agar sama-sama menyahut misi sejahtera yang telah
diperjuangkan PAS sekian lama.
"Tema ini juga sekaligus merangkumi maksud tema-tema DPPM yang telah
diangkat bermula dari 2015-2021.
"Persediaan pemuda samada sebagai amilin, rijal ad-dakwah, rijal as-siasah
atau rijal ad-daulah perlu diperkemaskan asas tiang serinya.
"Pastikan aqidah perjuangan, ibadah yang sahih, fikrah yang jelas dan
jernih dipasakkan dengan kuat di semua peringkat pemuda PAS, “ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Ucaputama Ketua Pemuda, di
Raia Hotel, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, ujarnya tema yang diangkat itu juga adalah untuk menyusun langkah kemenangan menguasai Putraya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang semakin hampir.
"(Juga) memacu perpaduan generasi muda dalam negara, membentuk muafakat yang utuh dalam menuju cita-cita, demi agama Islam.
"Seterusnya melahirkan generasi pemuda sejahtera yang mengisi kemenangan,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi menyediakan generasi pemuda yang diimpikan, perlu ditekuni kualiti-kualiti yang perlu ada dalam diri setiap pemuda.
Diantaranya menurut beliau, perlu memiliki ilmu yang luas mencakupi fardu ain dan fardu kifayah, miliki tahap keimanan yang teguh seteguhnya iman para pemuda Ashabul Kahfi.
"Pemuda yang tekun menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah.
"(Seterusnya) pemuda yang kompeten dan memiliki pelbagai kemahiran selaras dengan kehendak dan keperluan semasa dalam melaksanakan keperluan gerakan Islam pada hari ini," ujarnya
Justreru tegas beliau, pemuda perlu terus bergerak melangkah ke hadapan dengan memiliki kekuatan aqidah, ibadah yang sahih serta fikrah yang jelas.
"Mara dengan kekuatan yang dibina sendiri berpandukan al-Qur'an dan As-Sunnah.
"Mematuhi segala arahan kepimpinan, untuk terus
menongkah cabaran dalam mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya lagi.
Ulasan